KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu membuka tirainya hari ini di pekarangan Pasar Kedai Payang di sini, sebagai manifestasi iltizam kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat menerusi pendekatan inklusif dan menyeluruh.
Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, program tiga hari anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu diadakan dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Program yang berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Khamis dan Jumaat serta 9 pagi hingga 6 petang pada Sabtu menyasarkan kehadiran seramai 25,000 pengunjung, sejajar dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat.
Antara pengisian utama termasuk pembukaan 24 reruai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan negeri, Jualan MADANI dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian, penukaran topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta tawaran diskaun saman trafik sehingga 50 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lebih 500 peluang pekerjaan turut ditawarkan pada Karnival Kerjaya melibatkan sektor kerajaan dan swasta, selain pertandingan dron JuniorSkills yang menawarkan hadiah menarik bagi kategori sekolah rendah, menengah dan orang awam.
Memanfaatkan lokasinya yang berdekatan laut, PMR Terengganu turut menyerlahkan identiti tempatan dengan penganjuran Karnival Candat Sotong, satu warisan aktiviti laut yang semakin mendapat sambutan bukan hanya kaki pancing, tetapi juga dalam kalangan orang ramai yang ingin mencuba pengalaman unik menangkap sotong.
Program turut disemarakkan dengan elemen kebudayaan dan warisan seperti demonstrasi permainan dan masakan tradisional, aktiviti mencanting batik, pameran seni warisan budaya serta pelbagai acara santai termasuk Explore Race Pasar Payang, Fun Run dan Sukan Rakyat yang memperkukuh semangat komuniti.
Mengangkat keseimbangan antara pembangunan fizikal dan rohani, pengisian kerohanian seperti Terengganu Bermunajat, Pocket Talk anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta majls tahlil dan doa selamat untuk memperingati 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas baru-baru ini, turut akan diadakan.
Terengganu menjadi lokasi ketiga siri jelajah PMR tahun ini selepas Sabah (9-11 Mei), sebelum diteruskan ke destinasi seperti Lumut (Perak), diikuti selepas ini ke Kota Lama (Kelantan), Nilai (Negeri Sembilan), Baling (Kedah), Jasin (Melaka) dan Bintulu (Sarawak).
Majlis penutupan PMR Terengganu dijadualkan pada Sabtu ini dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut dijangka hadir barisan kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial