KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 3.0 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 9 Julai, dengan keseimbangan risiko yang cenderung kepada satu penurunan kadar, menurut RHB Investment Bank (RHB IB).
Dalam nota penyelidikan hari ini, RHB IB berkata sebarang pelarasan akan bergantung kepada potensi penurunan kadar yang lebih awal sekiranya tarif Amerika Syarikat (AS) memburukkan keadaan.
Menurutnya jika keadaan ini menyumbang kepada risiko penurunan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi separuh kedua 2025, ia berpotensi menyebabkan pertumbuhan menyusut di bawah 4.0 peratus.
RHB IB berkata kebanyakan bank pusat lain juga dijangka mengekalkan parameter dasar masing-masing tanpa perubahan pada Julai, termasuk Indonesia (16 Julai), China (21 Julai), Zon Euro (24 Julai), dan Rizab Persekutuan AS (30 Julai).
“Selain itu, Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) dijangka mengekalkan pendirian terhadap dasar semasa.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan pasaran yang meningkat, disusuli dengan kadar pertukaran efektif nominal dolar Singapura yang kukuh, boleh mendorong penggubal dasar untuk meluaskan jalur dasar kepada sekitar 3.0 peratus daripada 2.0 peratus pada masa ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial