BELANJAWAN 2025 > BERITA

Industri Kerang Sabah Berpotensi Jana Pendapatan RM34.4 Juta Setahun - Hajiji

05/07/2025 03:10 PM

TUARAN, 5 Julai (Bernama) -- Industri kerang di Sabah berpotensi menjana pendapatan sebanyak RM34.4 juta setahun berdasarkan anggaran pendaratan 3,240 metrik tan kerang setahun dan pulangan pelaburan kira-kira tujuh kali ganda, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata bagi merealisasi potensi itu kerajaan negeri hari ini melancarkan Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah untuk membuka peluang penjanaan ekonomi setempat melalui hasil kerang selain eksport baharu menerusi aktiviti hiliran seperti pengetinan dan produk makanan berasaskan kerang.

"Bagi sektor swasta, inilah masa terbaik untuk melabur dalam pemprosesan hasil laut, pembungkusan lestari dan pembinaan rantaian eksport Sabah. Peluang ini bukan sahaja menguntungkan, malah membina masa depan yang mampan," katanya selepas merasmikan projek tersebut, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Datuk Seri Hashim Paijan.

Hajiji berkata projek itu juga selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Ekonomi Biru sebagai landasan ekonomi yang kukuh bagi rakyat selain mengukuhkan kedudukan Sabah dalam bidang Ekonomi Biru di peringkat antarabangsa.

"Ekonomi Biru bukan saja berupaya mengimbangkan kemakmuran dengan kelestarian, malah menjelang 2030, nilai Ekonomi Biru global dijangka mencecah US$3 trilion," katanya.

Beliau berkata projek kerjasama antara SEDIA, Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah itu dilaksanakan dalam dua fasa.

"Fasa pertama yang telah selesai melibatkan kajian pemetaan dan eksplorasi sumber kerang dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 di lokasi berpotensi antaranya Tuaran dan Beluran sebagai tapak projek rintis.

"Fasa kedua pula dijadualkan bermula pada 2026, melibatkan pemindahan teknologi dan pelaksanaan projek di lapangan, dengan 77 lot penternakan telah dikenal pasti merangkumi 12 lot di Tuaran dan 65 lot di Beluran, meliputi kawasan seluas 1,617 hektar,” katanya.

Hajiji yang juga merupakan Pengerusi SEDIA berkata setiap lot akan diusahakan 10 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terdiri daripada pengusaha perikanan, komuniti luar bandar dan golongan B40.

“Malah jika hanya 40 peratus daripada lot beroperasi secara optimum, peserta masih mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM4,800 hingga RM6,500. Sudah tentu komuniti yang terlibat akan memperoleh pendapatan mampan melalui ternakan kerang.

“Golongan belia juga akan dilatih dengan kemahiran akuakultur moden, melahirkan generasi baharu usahawan laut Sabah,” katanya.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja akan membawa perubahan besar kepada rakyat, khususnya komuniti yang terlibat, malah juga kepada alam sekitar dan ekonomi negeri.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan membangunkan Sabah sebagai Hab Makanan Laut Biru ASEAN, setanding dengan negeri pengeluar utama industri itu seperti Perak, Pulau Pinang serta Selangor, dan komited menyokong industri ini dengan memberi latihan berterusan serta teknologi moden kepada peserta projek.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan