BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

Gabriel Silva Costa Sandaran Terbaharu Terengganu FC

03/07/2025 03:17 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) mengumumkan seorang lagi pemain import baharu yang akan memperkuatkan skuad Penyu bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/26.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata pemain kelahiran Brazil Gabriel Silva Costa menjadi pemain import baharu kedua yang mengikat kontrak selama semusim bersama skuad Penyu.

Beliau berkata kehadiran pemain berusia 28 tahun itu diharap mampu memperkuat jentera hadapan TFC yang sebelum ini sering berdepan masalah.

“Gabriel Silva Costa atau lebih mesra dengan panggilan Gabi melengkapkan perpindahan ke Terengganu setelah memenangi beberapa kejuaraan bersama kelab gergasi Kemboja Svay Rieng FC sejak 2023.

“Kehadiran beliau membantu pasukan itu menjuarai Liga Kemboja selama dua tahun berturut-turut dan Piala Hun Sen pada 2023. Beliau juga mencatat statistik cemerlang pada Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada musim lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Syahrizan berkata Gabi yang menyarung jersi nombor sembilan akan menjadi watak utama pasukan pada musim 2025/26 yang dijangka bermula pada pertengahan Ogos depan.

TFC sebelum ini mengumumkan kemasukan Junior Ngong Sam dari Cameroon sebagai pemain import pertama baharu pasukan musim ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan