KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulung ke Perancis pada 3 dan 4 Julai ini, atas jemputan Presiden Emmanuel Macron.
Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata lawatan itu membawa status rasmi sebagai simbol komitmen tinggi Perancis terhadap hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak Anwar memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.
“Status lawatan rasmi ini juga memberi makna besar kepada hubungan diplomatik dua hala yang terus diperkukuh,” katanya kepada media Malaysia menerusi sidang dalam talian dari Paris, Rabu.
Menurut beliau, Anwar akan disambut oleh barisan kepimpinan tertinggi kerajaan Perancis di lapangan terbang, diikuti kawalan kehormat sebelum menghadiri majlis bersama diaspora Malaysia yang menetap di Perancis.
Anwar dijadual mengadakan pertemuan empat mata bersama Macron di Istana Elysee, dengan agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
"Malaysia menjangkakan lawatan rasmi ini akan meningkatkan keyakinan pelabur untuk meneroka peluang pelabur baharu memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala, khususnya sektor nuklear dan tenaga bersih," katanya.
Selain itu, Malaysia turut menyuarakan sokongan terhadap usaha Perancis menganjurkan persidangan penyelesaian konflik Palestin-Israel dan membincangkan isu serantau seperti Laut China Selatan serta kestabilan Asia Tenggara dalam kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Eldeen berkata sesi syarahan umum oleh Perdana Menteri bertajuk “Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement” akan diadakan di Universiti Sorbonne, antara institusi ternama dunia dalam bidang intelektual dan budaya.
“Beliau juga akan menghadiri majlis bersama diaspora Malaysia seramai 250 orang, menyampaikan syarahan umum, dan menunaikan solat Jumaat serta mengadakan pertemuan dengan pemimpin komuniti Islam di Masjid Besar Paris, sebuah masjid tertua di Perancis,” katanya.
“Lawatan ini menyasarkan pembukaan lembaran baharu dalam hubungan dua hala, memacu pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Sepanjang lawatan itu, Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut menyertai delegasi itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagangan terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah. Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala ialah RM15.95 bilion (US$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (US$1.49 bilion) dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Selepas lawatan ke Perancis, Anwar akan meneruskan lawatan ke Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS dari 5 hingga 7 Julai.
Anwar kini dalam siri lawatan ke tiga negara bermula dari Itali, Perancis dan Brazil, dari 1 Julai hingga 7 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial