KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan ranking ke-18 dunia Iran pada Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang bakal berlangsung pada Ogos ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan selain Iran, skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski yang berada di tangga ke-131 dunia turut berdepan tuan rumah Tajikistan (ranking ke-104 dunia) dan Afghanistan (ke-160).
Mengikut jadual, Malaysia bakal membuka kempen menentang Tajikistan pada 29 Ogos, diikuti aksi bertemu Iran pada 1 Sept dan Afghanistan pada 4 Sept dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Dushanbe, Tajikistan.
“Sementara Kumpulan A pula berlangsung di Tashkent, Uzbekistan dengan menampilkan empat lagi pasukan iaitu tuan rumah Uzbekistan, Republik Kyrgyz, Turkmenistan dan Oman,” menurut kenyataan itu.
Hanya juara setiap kumpulan layak ke perlawanan akhir yang dijadual berlangsung di Tashkent pada 8 Sept, manakala naib juara kumpulan berentap bagi penentuan tempat ketiga di Dushanbe pada tarikh sama.
Selepas kejohanan itu, Malaysia akan menyambung baki saingan Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Okt dan di sini (14 Okt) sebelum bertemu Nepal di Kathmandu (18 Nov) dan berdepan Vietnam di tempat lawan pada Mac tahun depan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski menyifatkan undian Kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025 sebagai momen penting dalam perjalanan membina pasukan kebangsaan yang lebih kompetitif.
“Piala Negara-Negara adalah kejohanan yang cukup menarik dan merupakan langkah penting dalam perjalanan kami sebagai sebuah pasukan kebangsaan. Kami memang menantikan hasil undian ini dan sudah tentu kami ada perancangan seterusnya,” katanya menerusi audio yang dikongsikan FAM malam ini.
Beliau berkata perlawanan menentang Iran merupakan peluang untuk menilai tahap sebenar pasukan negara.
Cklamovski turut berharap seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan penuh kepada skuad kebangsaan dalam kejohanan kali ini.
"Mereka (Iran) akan ke Piala Dunia. Ia cabaran yang besar dan satu peluang bermakna untuk kami. Kami akan menggunakannya sebagai satu cara untuk mengukur tanda aras kekuatan pasukan. Kita akan uji kemampuan dan saingi mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial