PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Pelancaran rasmi platform Startup ASEAN hari ini menandakan langkah ke hadapan yang transformatif dalam memperkukuh kerjasama serantau, berperanan sebagai hab digital utama untuk usahawan, pelabur, kerajaan dan pembina ekosistem di semua negara anggota ASEAN.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata platform itu mencerminkan komitmen kukuh ASEAN untuk meneguhkan integrasi serantau di samping membuka peluang baharu melalui teknologi dan inovasi.
“Platform ini melambangkan komitmen utuh ASEAN dalam memperkukuh integrasi serantau dan pada masa sama membuka peluang yang belum pernah ada sebelum ini melalui teknologi dan inovasi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran platform itu secara maya di sini, Rabu.
Malaysia melancarkan platform Startup ASEAN, menandakan pelaksanaan penuh sebuah gerbang digital berani dan bersatu untuk menghubungkan dan memperkasakan syarikat pemula niaga di seluruh ASEAN.
Pelancaran platform serantau, diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan digerakkan oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), itu mengukuhkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memupuk inovasi inklusif dan dinamisme ekonomi di seluruh rantau ini.
Kao berkata program ASEAN Technology Startup Ignite merupakan antara keberhasilan utama ekonomi rantau ini bagi tahun ini di bawah kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.
Program sepanjang tahun itu berperanan penting dalam merangsang pertumbuhan syarikat pemula niaga di seluruh ASEAN, berjaya menghubungkan lebih 11,000 syarikat pemula niaga dengan 5,000 pelabur serta menyokong ekosistem syarikat pemula niaga yang kini bernilai lebih US$130 bilion.
Beliau berkata platform Startup ASEAN yang baru dilancarkan itu memanfaatkan momentum tersebut dan mewakili inisiatif utama yang menghimpunkan semua peserta dalam ekosistem syarikat pemula niaga di bawah satu bumbung.
“Pelancaran ini membuktikan dedikasi Malaysia dalam membangunkan platform yang memberi manfaat kepada semua negara anggota ASEAN, menggalakkan inovasi terbuka, memperluas akses kepada pembiayaan, dan meletakkan ASEAN sebagai kuasa inovasi yang dinamik dan saling terhubung,” katanya.
Beliau berkata penyenaraian Kuala Lumpur sebagai antara 20 ekosistem syarikat pemula niaga yang sedang pesat membangun utama buat kali pertama dalam Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Niaga Global 2025 oleh Startup Genome dengan berada di tangga ke-18 membuktikan lagi asas kukuh yang telah dibina oleh Malaysia untuk ekosistem nasionalnya.
Pengiktirafan itu juga menyerlahkan pengaruh Malaysia yang semakin berkembang dalam mempertingkatkan landskap inovasi serantau, katanya.
Melihat ke hadapan, Setiausaha Agung ASEAN itu menyuarakan keyakinan bahawa platform itu, di bawah kepimpinan Malaysia, akan membantu membentuk ASEAN yang lebih inklusif dan sedia masa depan dengan memupuk dasar mesra syarikat pemula niaga, meningkatkan kesediaan dalam kalangan negara anggota serta menggalakkan perkongsian bermakna bagi seluruh rantau ini.
Kao berkata masa bagi pelancaran itu amat signifikan kerana berlangsung hanya beberapa minggu selepas kalangan pemimpin ASEAN berhimpun di Kuala Lumpur dan menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur yang memperingati ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN.
Deklarasi itu mengesahkan komitmen ASEAN terhadap Visi Komuniti ASEAN 2045, yang bertujuan membina rantau yang berdaya tahan, inovatif dan berorientasi rakyat berasaskan empat tonggak strategik -- keselamatan politik, ekonomi, sosio-budaya dan keterhubungan.
“Dalam konteks ini, platform Startup ASEAN merupakan langkah ke hadapan yang tepat pada masanya dan jelas dalam membentuk ASEAN yang berdaya usaha, mudah menyesuai dengan keadaan dan bersedia untuk berkembang maju dalam perubahan global,” katanya.
Kao menutup ucapannya dengan menyatakan sokongan berterusan Sekretariat ASEAN kepada inisiatif itu dan menyeru semua negara anggota untuk bersama-sama memperkukuh ekosistem inovasi serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial