BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lawatan Rasmi PM Anwar Ke Indonesia Perkukuh Hubungan Akrab Dua Negara

26/06/2025 06:32 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 26 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia pada Jumaat sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan lawatan itu merupakan kunjungan balas susulan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia tahun ini bagi menghadiri pertemuan dua hala serta penyertaan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei lalu.

“Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada persediaan bagi Rundingan Tahunan Ke-13 antara Malaysia dan Indonesia yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang lawatan, Anwar dijadual mengadakan pertemuan bersama Presiden Prabowo bagi menilai perkembangan hubungan dua hala, menyusuli hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan isu global yang menjadi kepentingan bersama.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada 2024, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Nilai dagangan dua hala meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM116.29 bilion (US$25.5 bilion) berbanding RM111.21 bilion (US$24.39 bilion) pada 2023.

“Sebagai negara tetangga serumpun yang terdekat dan berkongsi hubungan sejarah serta sebagai negara pengasas ASEAN, lawatan rasmi ini menzahirkan komitmen bersama Malaysia dan Indonesia untuk terus memperkukuhkan kerjasama dua hala demi manfaat bersama kedua-dua negara serta kesejahteraan rantau ASEAN secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan