BELANJAWAN 2025 > BERITA

Unique Fire Sasar Teroka Pasaran Global Selepas Perpindahan Ke Pasaran Utama

26/06/2025 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Penyedia penyelesaian perlindungan kebakaran Unique Fire Holdings Bhd bersedia meluaskan operasinya ke peringkat antarabangsa, dipacu oleh inovasi produk, usaha mendapatkan pensijilan dan meningkatkan kehadiran dalam pasaran tempatan.

Sasaran ini adalah seiring dengan perpindahan penyenaraiannya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia baru-baru ini, katanya.

Pada 9 pagi, syarikat itu mula diniagakan di Pasaran Utama pada harga 37.5 sen, tidak berubah daripada harga penutupan di Pasaran ACE, dengan 46,000 saham bertukar tangan.

Pengarah Eksekutif Datuk Marcus Liew Kang Leong berkata kumpulan itu giat mengukuhkan portfolionya menerusi tiga inisiatif pertumbuhan utama.

"Tahun lepas, kami memeterai perjanjian usaha sama dengan rakan kongsi China bagi menghasilkan penyembur kebakaran.

 “Kami kini sedang menjalani proses pensijilan Makmal Penaja Jamin (Underwrites Laboratories - UL), yang dijangka mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan,” katanya pada sidang media sempena majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama, di sini hari ini.

Pensijilan UL antara piawaian keselamatan kebakaran yang paling ketat di peringkat global, dan ini membolehkan syarikat mengeksport produk ke pasaran utama termasuk Timur Tengah, Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan negara lain di seluruh dunia, kata Liew.

Mengulas mengenai kebimbangan berhubung tarif yang dikenakan oleh AS, beliau berkata syarikat tidak terjejas buat masa ini kerana sebahagian besar hasilnya masih dijana di Malaysia.

“Kami jarang mengeksport ke AS buat masa ini. Sekiranya tarif diperkenalkan kelak, kami jangka ia akan dikenakan secara seragam kepada semua pengeksport. Kadar tarif Malaysia pula berada dalam julat pertengahan,” katanya.

Dalam pada itu, Liew berkata Unique Fire turut mengembangkan operasinya ke Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Pengembangan itu bukan sahaja meningkatkan jualan malah memudahkan pelanggan mendapatkan produk mereka.

Unique Fire merupakan pengedar sistem, peralatan dan aksesori perlindungan kebakaran, serta turut terlibat dalam pengeluaran dan pengedaran grafik khas untuk alat pemadam api.

Syarikat turut memperluas skop aktivitinya dan terlibat secara aktif dalam pemasangan, pembuatan serta pengedaran sistem, peralatan dan aksesori perlindungan kebakaran aktif untuk persekitaran binaan, termasuk sistem pemadaman kebakaran, alat pemadam api, gulungan hos kebakran, hos kebakaran, sistem penggera dan peranti pengesan kebakaran.

Unique Fire pertama kali disenaraikan di Pasaran ACE pada Ogos 2022, dan sejak itu mencatatkan prestasi kewangan serta pertumbuhan operasi yang memberangsangkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan