ATHENS, 21 Jun (Bernama-Anadolu) -- Penutupan Selat Hormuz, yang dibimbangi bakal berlaku sekiranya ketegangan bersenjata antara Iran dan Israel terus memuncak akan memberi kesan besar kepada ekonomi global, menurut Menteri Perkapalan Greece, Vassilis Kikilias pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan Iran untuk menutup laluan laut itu akan membawa implikasi ekonomi yang serius di peringkat antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.
“Jika Selat Hormuz ditutup – ia merupakan senario paling buruk – kesannya bukan sahaja terhadap sektor perkapalan tetapi seluruh ekonomi dunia,” katanya dalam wawancara bersama stesen televisyen SKAI TV.
Kikilias menjelaskan bahawa hampir 90 peratus perdagangan global bergantung kepada laluan maritim, dan sebarang usaha mengalihkan kapal mengelilingi Afrika untuk ke destinasi utama di Eropah dan Amerika Syarikat akan mengganggu rantaian bekalan dunia secara ketara.
Menyifatkan landskap geopolitik semasa sebagai “sangat tidak menentu”, beliau turut memaklumkan bahawa harga minyak telah meningkat antara tujuh hingga 10 peratus dalam beberapa hari kebelakangan ini akibat ketegangan bersenjata antara Iran dan Israel.
Ketegangan tercetus pada Jumaat lalu selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan tentera dan nuklear, yang kemudian dibalas oleh serangan peluru berpandu dari Tehran.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial