KOTA BHARU, 21 Jun (Bernama) -- Walaupun hujan, ribuan peserta tidak berganjak pada Himpunan 10K Malam Untukmu Palestin yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan Zamakhshari Muhammad berkata perhimpunan itu menjadi pentas untuk rakyat menyuarakan solidariti terbuka dan tegas bersama penduduk Palestin serta mendukung pembebasan warganya daripada kezaliman rejim Zionis.
“Himpunan ini juga dapat memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia bahawa isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang wajib dipikul semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan warna politik,” katanya kepada Bernama pada perhimpunan itu malam ini yang turut diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid In-Team.
Beliau berkata acara itu turut diadakan bersempena Persidangan Belia Islam Antarabangsa yang berlangsung hari ini, melibatkan lebih 150 peserta dari pelbagai negara termasuk Palestin, Turkiye, Pakistan, Mesir, United Kingdom, India, Indonesia, Sri Lanka, Kemboja, Filipina dan Afrika Selatan selain penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Persidangan ini akan menjadi ruang wacana dan advokasi strategik belia Islam dalam isu Palestin dari sudut politik global, hak asasi manusia serta cabaran propaganda dalam era maklumat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial