BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kedutaan Palestin Kecam Penubuhan Yayasan Kemanusiaan Gaza

22/06/2025 12:23 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Kedutaan Palestin di Malaysia mengecam penubuhan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), menyifatkan inisiatif pengagihan bantuan itu sebagai operasi bertopengkan kemanusiaan yang hanya membahayakan lagi nyawa penduduk Gaza yang memerlukan bantuan.

Setiausaha Pertama Kedutaan Palestin Amjad Khamaysa berkata entiti yang disokong Amerika Syarikat dan Israel itu menjejaskan usaha kemanusiaan sebenar dan menambah penderitaan rakyat Palestin yang tertindas di bawah kekejaman rejim itu.

“Mereka (Israel) tidak membenarkan akses kemanusiaan ke Gaza, namun mereka pula yang menubuhkan institusi bantuan ini. Malangnya, pusat pengagihan ini digunakan untuk memburu rakyat Palestin.

“Mereka (rakyat Palestin) datang untuk mendapatkan bantuan, tetapi dibunuh (oleh Israel) di situ,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada forum “More Than A War, It's Genocide” anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada Sabtu.

Beliau turut mengecam tindakan rejim Israel mengharamkan agensi Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat  (UNRWA) daripada melaksanakan misi kemanusiaannya di Gaza.

Sejak 7 Mei, Israel telah memintas peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bantuan antarabangsa dengan menyalurkan bantuan terhad melalui GHF - langkah yang ditolak oleh PBB.

Menurut Anadolu Ajansi, rakyat Palestin yang mendapatkan bantuan melalui mekanisme ini menjadi sasaran tembakan Israel hampir setiap hari, menyebabkan ramai yang terkorban.

Amjad berkata Kedutaan Palestin akan terus berhubung dengan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran dan solidariti terhadap genosid yang sedang berlaku ke atas Palestin dan rakyatnya, melalui pelbagai saluran termasuk kerjasama dengan masyarakat sivil Malaysia serta platform digital.

Lebih 55,000 orang di Gaza maut sejak Israel melancarkan serangan pada 7 Oktober 2023, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Rejim Israel juga telah mengenakan sekatan sepenuhnya sejak Mac lepas, memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang parah di wilayah dikepungnya itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan