PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Proses membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dilaksanakan Jumaat ini, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata antara persiapan yang sedang dilakukan ialah penyediaan visa perjalanan.
"Menteri Luar memaklumkan bahawa jumlah rakyat Malaysia berdaftar sama ada yang berkhidmat dengan Malawakil, pelajar atau pelancong yang berada di Iran tidak terlalu besar.
"Insya-Allah, mereka akan melakukan perjalanan keluar dalam tempoh sehari dua ini... dijangka pada 20 Jun... ada beberapa persiapan tetapi oleh kerana ia melibatkan aspek keselamatan, saya tidak boleh nyatakan," katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini.
Konflik antara Iran dan Israel memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh rejim zionis itu ke atas wilayah Iran.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel.
Semalam, Wisma Putra menyeru semua rakyat Malaysia yang berada di Iran agar meninggalkan negara itu serta-merta susulan keadaan tidak menentu dan berisiko bertambah buruk tanpa sebarang amaran awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial