BELANJAWAN 2025 > BERITA

Koperasi Tentera Umum Dividen 7.1 Peratus 

19/06/2025 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) hari ini mengumumkan agihan dividen 7.1 peratus kepada 155,678 anggotanya membabitkan pembayaran berjumlah RM125.3 juta, susulan prestasi cemerlang yang dicapai pada tahun kewangan lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pencapaian itu, membuktikan keupayaan Koperasi Tentera sebagai antara koperasi paling kukuh di negara ini, berlandaskan sokongan penuh anggotanya dan amalan pengurusan berasaskan prinsip koperasi.

Beliau berkata Koperasi Tentera, terus mengekalkan status sebagai koperasi premier dengan aset melebihi RM3 bilion, menjadikannya antara institusi koperasi paling berjaya di Malaysia.

“Dalam negara ada 15,000 koperasi dan daripada jumlah itu hanya 15 layak sebagai koperasi premium dengan Koperasi Tentera berada di tangga kedua,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-59 di Wisma Perwira ATM di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata walaupun berdepan cabaran ekonomi, koperasi mencatatkan pendapatan bersih RM253.3 juta pada tahun lepas yang merupakan peningkatan daripada RM232.8 juta pada 2023 dan pada masa sama merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM110.2 juta.

Mohamed Khaled berkata kekuatan koperasi terbabit terletak pada sokongan anggotanya yang sentiasa memberi kepercayaan terhadap perkhidmatan koperasi, termasuk dalam aspek pinjaman, insurans dan pelaburan.

“Ini prinsip utama koperasi, iaitu anggota menyokong koperasi mereka sendiri. Kalau koperasi beri pinjaman, anggota pinjam dengan koperasi, bukan dengan along. Selain itu kejayaan koperasi juga datang daripada amalan demokrasi yang sihat,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan koperasi sebagai instrumen ekonomi dan sosial kepada anggotanya, khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berdepan pelbagai cabaran dalam konteks ekonomi semasa.

“Secara individu, anggota mungkin tidak berupaya meninjau dan merebut peluang ekonomi di luar. Tapi melalui koperasi, kita bergotong-royong menjayakan sebuah instrumen ekonomi yang berkesan,” katanya.

Mohamed Khaled turut berharap Koperasi Tentera terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda Ekonomi MADANI, termasuk memperkasakan penyertaan ekonomi anggota ATM dan veteran.

Pada masa sama beliau juga mahu Koperasi Tentera memanfaatkan kedudukannya dalam ekosistem Kementerian Pertahanan dengan menyertai secara aktif pelbagai peluang perniagaan berkaitan perkhidmatan pertahanan termasuk pembiayaan kontraktor dan penyediaan insurans projek bekalan.

“Kementerian komited untuk memastikan koperasi ini berjaya dan bersedia membuka ruang peluang ekonomi (kepada anggota Koperasi Tentera),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan