KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Wide Agro Ventures Sdn Bhd bekerjasama dengan Orec Co Ltd, sebuah syarikat beribu pejabat di Fukuoka, Jepun, untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran dan pusat pengedaran tercanggih di Taman Perindustrian Seri Iskandar, Perak dengan pelaburan awal RM30 juta.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata inisiatif bersama antara Malaysia dan Jepun itu telah diumumkan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di Ekspo Dunia 2025 di Osaka.
“Inisiatif strategik ini akan memperluas kapasiti pengeluaran dengan ketara dan meningkatkan produktiviti sektor pertanian di Malaysia, terutamanya dalam industri minyak sawit pada tahun-tahun akan datang.
“Melalui MoU ini, Orec akan menyediakan teknologi termaju kepada Wide Agro Ventures untuk pengeluaran dan pengedaran jentera serta peralatan pertanian di Malaysia dan pasaran serantau, mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pemain utama dalam industri jentera dan peralatan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kemudahan di Seri Iskandar itu dijangka menjadi tonggak utama dalam sektor berkenaan, bertindak sebagai pemangkin kepada peningkatan kapasiti industri, pemindahan teknologi dan daya saing eksport.
“Dengan menggabungkan kecemerlangan kejuruteraan Jepun dengan kepakaran Malaysia, kita sedang membina rantaian nilai yang berdaya tahan dan berwawasan ke hadapan.
“Ini akan meningkatkan produktiviti dalam sektor minyak sawit dan sektor-sektor lain, sekali gus membuka peluang kepada bakat-bakat tempatan, perniagaan serta komuniti yang lebih luas untuk berkembang maju,” katanya.
Beliau menambah Seri Iskandar menawarkan platform strategik yang sejajar dengan agenda nasional untuk memajukan mekanisasi dan pendigitalan dalam pertanian, serta meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi pembuatan jentera bernilai tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Wide Agro Ventures Ahmad Fadzil Mustafa berkata pelaburan berkenaan merupakan satu mercu tanda penting dalam perjalanan syarikat di Malaysia.
“Dengan memperluaskan keupayaan pembuatan kami di Perak, kami bukan sahaja mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan industri tempatan tetapi juga meningkatkan misi kami untuk menyampaikan penyelesaian pertanian yang mudah dan mampan di seluruh rantau ini.
“Kami percaya dalam mentransformasikan sektor pertanian dengan teknologi yang lebih baik secara bertanggungjawab, mampan, inovatif dan secara kerjasama dengan rakan kongsi kami dari Jepun,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Perak memiliki tanah yang dianugerahkan dengan aktiviti pertanian yang besar, termasuk sawit, getah dan padi.
Sektor pertanian di Perak merupakan sebahagian besar daripada ekonomi negeri itu, menyumbang 14.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ia memainkan peranan penting dalam sekuriti makanan dan eksport, di mana minyak sawit merupakan salah satu produk eksport utama.
“Dengan menghasilkan jentera dan peralatan yang canggih, ia akan melonjakkan sumbangan sektor ini melalui peningkatan kecekapan dan produktiviti di seluruh negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial