BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jemaah Disaran Ulang Kaji Ilmu Haji Menjelang Wukuf Di Arafah

01/06/2025 09:44 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 1 Jun (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M perlu menggunakan baki hari yang ada sebelum wukuf di Arafah pada Khamis ini (5 Jun) untuk mengulang kaji semula perkara serta tuntutan rukun dan wajib haji agar ibadah yang dilakukan benar-benar sah, sempurna dan diterima Allah.

Ketua Pakar Rujuk Haji merangkap Timbalan Mufti Perlis Tajul Urus Abdul Halim berkata jemaah perlu memanfaatkan waktu-waktu terakhir sebelum wukuf untuk membuat semakan semula catatan, nota dan rujukan yang dibekalkan Tabung Haji (TH) sebelum ini.

“Jemaah haji perlu mengulang kaji semula segala ilmu yang telah dipelajari sebelum ini agar setiap amalan yang dilakukan selari dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Baginda bersabda yang bermaksud: ‘Ambillah kamu daripada aku ini tentang ibadah haji’. Maka, ibadah haji tidak boleh dilakukan mengikut rasa atau tafsiran sendiri sebaliknya mestilah berpandukan sunnah Rasulullah SAW sepenuhnya," katanya ketika ditemui media di sini.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kesihatan serta membuat persiapan rapi dari segi fizikal dan rohani menjelang hari wukuf di Arafah, yang merupakan kemuncak pelaksanaan ibadah haji.

"Jemaah haji perlu memberi tumpuan penuh terhadap penjagaan kesihatan dan elakkan melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan ketahanan fizikal temasuk pergerakan agresif atau menunaikan umrah sunat yang terlalu kerap hingga menjejaskan kesihatan ketika menjelang pelaksanaan kemuncak ibadah haji," katanya.

Pada masa sama, Tajul Urus menyarankan supaya jemaah haji melakukan persiapan teliti dari aspek keperluan peribadi dan logistik termasuk menyusun ubat-ubatan, ihram serta kelengkapan asas harian bagi memudahkan pergerakan dari Arafah ke Muzdalifah, Mina dan seterusnya ke Jamrah.

"Sebelum melangkah keluar dari hotel atau tempat penginapan masing-masing menuju ke Arafah, mereka dinasihatkan untuk menanamkan keikhlasan yang tulus semata-mata kerana Allah SWT kerana inilah asas terpenting dalam melaksanakan ibadah.

"Kita lihat jemaah telah mengorbankan harta, masa dan tenaga demi menyahut seruan haji, namun jika ibadah itu dilakukan tanpa keikhlasan dan hanya bertujuan meraih gelaran haji ia satu kerugian besar buat dirinya," katanya.

Beliau turut menyeru jemaah haji memanfaatkan sepenuhnya keberadaan di Arafah dengan memperbanyakkan doa, zikir dan istighfar sebagai lambang kehambaan yang tulus kepada Allah SWT.

Operasi masyair adalah kemuncak keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijah untuk menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

Mahkamah Agung Arab Saudi mengisytiharkan Hari Arafah jatuh pada Khamis, 9 Zulhijah (5 Jun), diikuti dengan sambutan Aidiladha pada Jumaat, 6 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan