Daripada Nurliyana Farah Ruslan
MAKKAH, 2 Jun (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan tiada jemaah haji Malaysia akan tertinggal untuk berwukuf di Arafah pada Khamis ini, meskipun Kerajaan Arab Saudi melaksanakan sekatan keluar masuk khemah sempena musim haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata TH telah membuat perancangan rapi termasuk penyediaan pengangkutan yang mencukupi agar semua jemaah dapat bergerak ke Arafah dengan selamat.
“Ya, di pihak Tabung Haji, pengangkutan untuk jemaah memang telah disediakan dan tidak ada masalah. TH akan memastikan tiada jemaah haji yang tertinggal di belakang, (jemaah haji) akan berada di Arafah tepat pada waktunya untuk berwukuf,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra bersama Jemaah Haji di Bangunan Penginapan Abraj Al Tayseer dan Perasmian Program Kebersihan Masyair 1446H/2025M di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Na'im turut mengesahkan bahawa Kerajaan Arab Saudi memberi jaminan untuk menyediakan pengangkutan yang mencukupi bagi memastikan tiada jemaah perlu berjalan kaki ke Arafah, susulan sekatan yang diumumkan sebelum ini.
“Walaupun tiada jumlah pengangkutan dinyatakan secara spesifik, komitmen tinggi diberikan Kerajaan Arab Saudi dalam memastikan keselamatan jemaah sentiasa terjaga dengan menyediakan pengangkutan alternatif termasuk bas dan kereta api,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd Na'im memaklumkan bahawa dasar baharu Arab Saudi yang dikenali sebagai Tiada Visa Tiada Haji membantu mengurangkan jumlah jemaah tidak berdaftar yang cuba memasuki Tanah Suci.
“Ini bermakna jumlah jemaah haji yang berada di Tanah Suci tahun ini terdiri daripada mereka yang memiliki permit sah sahaja. Keadaan ini lebih terkawal dan kita berharap jumlah jemaah yang telah ditetapkan oleh Kementerian Haji Arab Saudi akan sepadan dengan kemudahan pengangkutan yang disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata TH berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi pergerakan jemaah haji ke kawasan Masya'ir bermula Rabu ini.
“Alhamdulillah, TH seperti tahun sebelum ini sentiasa bersedia. Insya-Allah apabila rombongan pertama jemaah bergerak pada Rabu ini, petugas-petugas haji kita akan berada lebih awal di kawasan Masya'ir, khususnya di Arafah bagi menyambut dan memandu arah jemaah ke khemah masing-masing.
“Secara keseluruhan, tahap kesiapsiagaan adalah tinggi, sudah tentu masih ada ruang untuk penambahbaikan, namun komitmen TH dan para petugas berada pada tahap yang amat membanggakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial