BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Gesa Lanjutkan, Luaskan Genjatan Senjata Di Myanmar Untuk Lindungi Misi Kemanusiaan

01/05/2025 12:59 AM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Malaysia menggesa supaya genjatan senjata semasa di Myanmar yang dijadual tamat pada Rabu, dilanjutkan dan diperluas bagi memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan adalah selamat dan tanpa halangan, khususnya di kawasan yang terjejas akibat gempa bumi baru-baru ini.

Kementerian Luar Malaysia juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) supaya mengekalkan dan memperluas genjatan senjata yang diisytiharkan selepas bencana itu.

“Genjatan senjata sedia ada... bukan sahaja perlu dikekalkan, malah perlu diperluaskan menjadi genjatan senjata kemanusiaan di seluruh negara.

Genjatan senjata kemanusiaan yang menyeluruh penting untuk membolehkan operasi bantuan kemanusiaan dijalankan dengan selamat, saksama dan berkesan di seluruh negara, serta menjamin keselamatan pasukan bantuan dan perubatan di lapangan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa Anwar dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan secara konsisten membangkitkan perkara itu dalam pertemuan mereka bersama pihak berkepentingan.

“Semasa perbincangan yang diadakan di Bangkok awal bulan ini, Perdana Menteri mengesahkan bahawa kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk mengekalkan genjatan senjata,” menurut kenyataan itu.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Negara Anggota ASEAN, Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) dan rakan antarabangsa untuk menyokong usaha bantuan berlandaskan prinsip kemanusiaan.

Malaysia kekal komited terhadap penyampaian bantuan kemanusiaan yang berkesan kepada komuniti terjejas di Myanmar, sejajar dengan satu daripada elemen utama Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Malaysia turut mengulangi komitmennya terhadap tindak balas kolektif ASEAN dan bersedia menyokong penyelesaian aman, terangkum dan daripada rakyat Myanmar sendiri terhadap krisis berkenaan.

Pada 23 April, tentera Myanmar mengumumkan lanjutan genjatan senjata yang diumumkan susulan gempa bumi maut bulan lepas selama seminggu sehingga 30 April.

Langkah itu bertujuan mempercepatkan usaha pembinaan semula di kawasan terjejas, menurut pihak rejim tentera, lapor Bernama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan