BELANJAWAN 2025 > BERITA

KKM Keluar Lebih 43,000 Notis Kesalahan Berkaitan Produk Merokok Sejak Oktober 2024

01/05/2025 12:35 AM

KAJANG, 30 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 43,455 notis kesalahan berkaitan kawalan produk merokok melibatkan anggaran kompaun RM10,424,350, sejak Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) berkuat kuasa pada 1 Okt 2024 hingga 20 April lepas.

Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam KKM Dr Zulhizzam Abdullah berkata notis kesalahan itu dikeluarkan atas pelbagai bentuk pelanggaran di bawah Akta 852 dan peraturan berkaitannya.

“Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 7(1) berhubung larangan pengiklanan produk merokok, manakala lima kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 9(1) yang melibatkan larangan promosi dan tajaan produk merokok. 

“Selain itu, 20 kertas siasatan dibuka di bawah Peraturan 3, Peraturan Kawalan Penjualan 2024 atas kesalahan penjualan produk merokok secara dalam talian. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) berkaitan pembungkusan produk yang menyerupai permainan atau makanan, sebanyak 46 kertas siasatan telah dibuka,” katanya pada sidang media selepas operasi di sekitar Reko Sentral di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata Seksyen 16(2) yang melibatkan larangan merokok di kawasan atau tempat larangan mencatatkan jumlah tertinggi, dengan 41,421 notis kesalahan dikeluarkan melibatkan nilai kompaun RM10.36 juta.

Sebanyak 1,382 notis kesalahan juga dikeluarkan kepada orang belum dewasa yang melanggar Seksyen 17(1), dengan nilai kompaun RM69,100.

Sementara itu, Zulhizzam berkata setakat 20 April tahun ini, 338 notis peringatan dikeluarkan kepada premis di seluruh negara yang masih belum mematuhi peraturan di bawah akta berkenaan.

“Dalam operasi malam ini, 111 notis peringatan dikeluarkan kepada premis yang belum mematuhi peraturan, manakala 35 pemakluman pematuhan diberikan kepada premis yang menunjukkan kepatuhan.

“Pengeluaran notis peringatan dan pemakluman pematuhan ini akan diteruskan di seluruh negara. Ia adalah sebahagian daripada langkah advokasi KKM untuk memastikan pemahaman dan kesiapsiagaan industri sebelum peraturan ini berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Okt nanti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan