BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Minta Kerajaan Tidak Terlalu Selesa Dengan Kemenangan Di DUN Ayer Kuning - Fahmi

30/04/2025 06:35 PM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebaliknya perlu bekerja lebih keras membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu disuarakan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan beliau turut mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan daripada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan tersebut.

"Perdana Menteri minta supaya kerajaan tidak terlalu yakin atau terlalu lega dengan keputusan ini tetapi harus lebih keras bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat.

"Jelas rakyat mendambakan bukan hanya kestabilan politik tetapi juga pentadbiran yang memacu pertumbuhan ekonomi yang menjaga kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri juga menyifatkan kemenangan itu sebagai petanda positif kerana berlaku perubahan sokongan dalam kalangan pengundi muda dan Melayu meskipun peratusan keluar mengundi rendah berbanding pada Pilihan Raya Umum lepas.

Fahmi juga berkata daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), 19 telah dimenangi oleh BN manakala satu sahaja dimenangi Perikatan Nasional (PN) dengan jumlah majoriti yang berkurangan malah terdapat tiga PDM di mana undi diperoleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengatasi PN.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, BN berjaya mempertahan kerusi itu apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada PN yang memperoleh 6,059 undi dan calon PSM Bawani KS (1,106 undi).

Keputusan itu menyaksikan DUN Ayer Kuning terus menjadi kubu kuat BN yang dikuasai parti berkenaan sejak 1986.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan