BEIJING, 6 Jan (Bernama-Xinhua) -- China memutuskan untuk memperketat kawalan eksport barangan dwiguna ke Jepun berkuat kuasa Selasa, menurut pengumuman Kementerian Perdagangan negara itu, lapor Xinhua.
Kementerian berkenaan memaklumkan bahawa China melarang eksport semua barangan dwiguna kepada pengguna ketenteraan Jepun, untuk kegunaan ketenteraan Jepun, serta kepada mana-mana pengguna akhir dan tujuan penggunaan lain yang membantu meningkatkan keupayaan ketenteraan Jepun.
Ia berkata organisasi atau individu dari mana-mana negara atau wilayah yang melanggar peruntukan berkenaan dengan memindahkan atau membekalkan barangan dwiguna berkaitan yang berasal dari China kepada organisasi atau individu di Jepun akan dikenakan tindakan undang-undang.
Keputusan itu dibuat selaras dengan undang-undang dan peraturan berkaitan China bagi melindungi keselamatan dan kepentingan negara serta memenuhi obligasi antarabangsa seperti usaha tidak proliferasi, menurut kementerian itu.
Seorang jurucakap kementerian berkenaan berkata pemimpin Jepun baru-baru ini telah membuat kenyataan yang salah berkaitan wilayah Taiwan China, yang memberi bayangan kemungkinan campur tangan ketenteraan di Selat Taiwan.
Menurut jurucakap itu, kenyataan sedemikian mencampuri urusan dalaman China, melanggar prinsip satu China secara serius dan bersifat amat keterlaluan dari segi sifat serta kesannya.
Barangan dwiguna merujuk kepada barangan, teknologi atau perkhidmatan yang boleh digunakan bagi tujuan awam atau ketenteraan, atau menyumbang kepada peningkatan keupayaan ketenteraan, khususnya dalam reka bentuk, pembangunan, pengeluaran atau penggunaan senjata pemusnah besar-besaran serta sistem penghantarannya.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial