WAKAYAMA, 7 Jan (Bernama-Kyodo) -- Seekor kucing calico bernama Yontama dilantik pada Rabu sebagai ketua stesen kucing ketiga bagi sebuah stesen kereta api tempatan di Jepun, meneruskan tradisi hampir dua dekad yang telah merancakkan pelancongan serta membantu menyelamatkan laluan itu daripada kesukaran kewangan, selain mencetuskan langkah serupa oleh pengendali rel lain, lapor Kyodo News.
Dalam satu majlis di Stesen Kishi di Laluan Kishigawa, Wakayama Electric Railway Co., syarikat kereta api itu turut memperkenalkan rekrut pelatih kucing terbarunya, Rokutama.
Pendahulu Yontama, Nitama, juga seekor kucing calico, meninggal dunia pada November tahun lalu dan telah dinamakan sebagai ketua stesen kehormat.
Laluan Kishigawa mula menarik perhatian di seluruh negara selepas melantik seekor kucing bernama Tama sebagai ketua stesen kucing pertamanya pada 2007, yang berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara serta memastikan kelangsungan kewangan laluan berkenaan.
Langkah itu kemudian mencetuskan trend dalam kalangan laluan kereta api tempatan lain yang berdepan kesukaran, dengan melantik kucing, anjing, arnab dan haiwan lain sebagai ketua stesen di seluruh Jepun.
Di hadapan bangunan stesen di Kinokawa, Wilayah Wakayama, Presiden Wakayama Electric Railway Mitsunobu Kojima menyarungkan pingat berukir gelaran ketua stesen kepada Yontama, yang disambut dengan tepukan daripada orang ramai.
Chisako Asano, 52, seorang suri rumah dari Fujiidera di Wilayah Osaka yang merupakan peminat sejak era Tama, berkata beliau berharap ketua stesen kucing itu akan terus menjaga Laluan Kishigawa.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial