AM > BERITA

PM Anwar Terima Anugerah Tertinggi Turkiye

08/01/2026 02:46 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

ANKARA, 7 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima anugerah Order of the Republic, iaitu darjah kebesaran tertinggi Turkiye, sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan republik itu.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Presiden di sini bersempena lawatan rasmi tiga hari Anwar ke republik itu, yang bermula semalam (6 Jan).

Turut hadir pada majlis penganugerahan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan berkata beliau menerima penganugerahan itu dengan penuh rasa syukur dan rendah diri, bukan atas kapasiti peribadi, sebaliknya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.

“Penganugerahan ini juga melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama untuk keamanan serta kemakmuran sejagat,” katanya.

Anwar juga berharap pengiktirafan berkenaan akan terus menjadi pemangkin untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Türkiye merentasi pelbagai bidang strategik, demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal berkata anugerah itu adalah pengiktirafan tertinggi republik berkenaan yang diberikan kepada pemimpin luar yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion), dengan republik itu kekal sebagai rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia.

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar  serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (USD5.28 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan