DUNIA > BERITA

Rancangan Pilihan Raya Myanmar Akan Dibincangkan Pada Sidang Kemuncak ASEAN – Wisma Putra

10/10/2025 11:30 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia akan membangkitkan rancangan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya serta jemputannya kepada negara anggota ASEAN supaya menghantar pemerhati pilihan raya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini, menurut Kementerian Luar.

Kementerian itu berkata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa Myanmar perlu melaksanakan pilihan raya akan datang secara bebas, adil, telus dan berwibawa dengan penyertaan semua parti politik dan pihak berkepentingan di seluruh negara.

Ia berkata Mohamad menyampaikan pendirian itu dalam pertemuan beliau dengan Pengerusi Suruhanjaya  Keamanan dan Keselamatan Negara (SSPC) merangkap Pemangku Presiden Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Perdana Menteri merangkap Menteri Perancangan Nasional U Nyo Saw, serta Menteri Luar U Than Swe semasa lawatan kerjanya ke Nay Pyi Taw pada 9 Okt.

Beliau memaklumkan bahawa SSPC telah mengemukakan jemputan kepada negara anggota ASEAN untuk menghantar pemerhati pilihan raya, dengan jemputan kepada Malaysia ditujukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sebagai Pengerusi ASEAN, perkara ini akan dibangkitkan dan dibincangkan oleh negara anggota ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

SSPC merancang untuk mengadakan pilihan raya pada 28 Disember ini.

Dalam pertemuannya semasa lawatan kerja sehari itu, Mohamad turut menegaskan kepentingan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN, iaitu penghentian keganasan, penyampaian bantuan kemanusiaan, dan dialog inklusif dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar.

Beliau juga mengulangi kesediaan Malaysia untuk menawarkan “perkhidmatan baik” dan menyediakan persekitaran yang kondusif serta berkecuali bagi memudahkan dialog inklusif dengan semua pihak berkepentingan Myanmar, sekali gus menegaskan komitmen ASEAN terhadap penyelesaian bersifat menyeluruh.

“Menteri Luar telah menyampaikan kepada Pengerusi dan Menteri luar SSPC tentang aspirasi pihak berkepentingan Myanmar hasil daripada siri libat urus yang dijalankan oleh Malaysia dengan pelbagai pihak sejak mengambil alih kerusi Pengerusi ASEAN awal tahun ini.

“Perbincangan lain turut merangkumi jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dadah dan penipuan dalam talian, kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN serta situasi etnik Rohingya,” katanya.

Lawatan itu mengukuhkan komitmen ASEAN untuk menyokong proses damai yang diterajui Myanmar secara inklusif dan mampan.

“Malaysia juga akan terus aktif berhubung dengan semua pihak berkepentingan Myanmar dalam usaha mencapai jalan damai yang inklusif dan mampan ke arah perdamaian serta perpaduan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Myanmar berdepan krisis politik dan kemanusiaan yang berpanjangan sejak tentera menggulingkan kerajaan sah yang dipilih secara demokratik, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), pada 1 Feb 2021.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan