PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) membongkar pusat operasi perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik kediaman mewah, menerusi penahanan 11 warga China dalam operasi khas di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada Khamis lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam operasi pada 3.50 petang itu anggota JIM Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menahan 10 lelaki dan seorang wanita berumur 20 hingga 40 tahun.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menjadikan premis kediaman mewah sebagai pusat operasi perjudian dalam talian yang dikendalikan oleh warga China yang menyasarkan pasaran luar negara.
“Aktiviti ini menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk tujuan promosi dan komunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semakan awal mendapati dua lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), lima lelaki lagi telah tinggal lebih masa manakala tiga lelaki dan seorang wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menyita tujuh pasport China, 11 unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, tiga unit set komputer dan wang tunai sebanyak RM3,900,” katanya.
Zakaria berkata kesemua mereka kini ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan antaranya di bawah Per. 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua warganegara asing dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial