Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 3 Julai (Bernama) -- Di tengah spekulasi mengenai keadaan kesihatannya, bekas Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi bertemu secara santai dengan Ketua Dewan Ekonomi Nasional Luhut Binsar Panjaitan yang menghadiri acara rasmi di Bali pada Selasa.
Luhut berkata pertemuan selama lebih satu jam bersama isteri masing-masing berlangsung dalam suasana akrab, membincangkan pelbagai perkara termasuk kenangan semasa memegang jawatan serta perkembangan keluarga.
“Mereka berdua memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan doktor menunjukkan perkembangan kesihatan yang baik. Lega rasanya mendengar khabar itu secara langsung,” kata Luhut menerusi hantaran di Instagram pada Rabu.
Menurut beliau meskipun belum pulih sepenuhnya, Jokowi tetap bersemangat luar biasa dan masih mampu meluangkan masa bermain bersama cucu-cucunya.
Dalam pertemuan itu, Jokowi turut menyampaikan salam hormat kepada Presiden Prabowo Subianto sebagai tanda penghargaan atas usaha beliau memimpin negara serta menyampaikan semula salam Prabowo kepada bekas Presiden itu.
“Dua pemimpin, dua generasi yang sama-sama yang patut diteladani dalam mengedepankan etika kebangsaan," kata Luhut.
Beliau turut menzahirkan rasa sedih kerana terdapat segelintir pihak yang seolah-olah melupakan jasa Jokowi, sedangkan menghormati pemimpin terdahulu adalah sebahagian daripada budaya bangsa seperti yang sering ditekankan oleh Prabowo.
“Pada pertemuan itu, saya menyedari satu perkara penting, bahawa di sebalik sikap tenangnya selama ini, beliau (Jokowi) tetap seorang pemimpin yang mencintai negaranya dengan cara yang damai, tulus dan konsisten,” tambahnya.
Sebelum berpisah, Luhut dan isterinya turut mendoakan agar Jokowi segera sembuh dan kembali menjalani aktiviti seperti sediakala.
Media tempatan sebelum ini melaporkan perubahan ketara pada wajah Jokowi yang kelihatan lebih gelap daripada biasa serta terdapat beberapa bintik-bintik putih.
Juruiring bekas presiden Indonesia ketujuh telah memaklumkan bahawa Jokowi hanya mengalami alahan kulit biasa serta radang yang mempengaruhi keadaan kulitnya selepas menghadiri upacara pengebumian Pope Francis di Vatican pada April sebagai Utusan Khusus dari Indonesia.
Luhut antara tokoh politik senior berpengaruh pernah menjawat pelbagai portfolio dalam kabinet Jokowi termasuk Menteri Penyelaras Bidang Maritim dan Pelaburan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial