Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 27 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beliau dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkongsi hasrat yang sama untuk melihat keamanan tercapai, bukan sahaja antara Israel dan Iran tetapi juga di seluruh rantau Timur Tengah.
Meluahkan rasa lega terhadap perkembangan terkini berupa genjatan senjata sementara antara Israel dan Iran, Anwar bagaimanapun berkata Malaysia dan Indonesia mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan Israel yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin.
Beliau berkata Malaysia konsisten dalam menyuarakan bantahan tegas terhadap pencerobohan dan pelanggaran Israel ke atas Iran, serta menyokong hak negara itu untuk mempertahankan kedaulatan dan maruahnya.
“Tapi yang penting, seperti yang disentuh oleh Presiden (Prabowo), ada keinginan kita bersama untuk perdamaian tercapai, bukan saja antara Iran dan Israel, tapi seluruh Timur Tengah,” kata Anwar sambil berharap Palestin dapat menjadi sebuah negara yang bebas dan berdaulat.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka di sini hari ini.
Terdahulu, Prabowo berkata Malaysia dan Indonesia akan terus menggalakkan penyelesaian secara damai oleh semua pihak, serta menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Iran.
“Kami berharap proses ini dapat diteruskan ke arah perdamaian. Hanya two-state solution yang bisa mengakhiri pertikaian ini.
“Indonesia dan Malaysia memandang perlu ada satu upaya kolektif global untuk mendorong penyelesaian konflik secara damai,” kata beliau sambil menambah Indonesia juga akan terus menyokong kemerdekaan Palestin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial