KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Luar Negeri sedang memantau rapi situasi keselamatan di Qatar ekoran perkembangan terbaharu di negara itu dan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas.
Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Doha mengekalkan komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakyat Malaysia yang berdaftar, serta terus memantau perkembangan di lapangan.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan Kerajaan,” menurut kementerian dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik Amerika Syarikat (AS) di Qatar.
Serangan itu menyusuli serangan awal AS pada Ahad yang menyasarkan tiga kemudahan nuklear Iran - Fordow, Natanz dan Isfahan.
Sementara itu, Kementerian memaklumkan bahawa pihaknya akan terus menilai situasi dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Qatar.
"Kemas kini akan disediakan melalui saluran media rasmi jika perlu," menurut kenyataan itu.
Kementerian menasihatkan rakyat Malaysia di Qatar untuk terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan tempatan dan terus berhubung dengan Kedutaan untuk menerima maklumat terkini dan nasihat tepat pada masanya.
Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh menghubungi Kementerian menerusi talian +603 8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Doha pada Isnin menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk melakukan perjalanan agar menyemak maklumat terkini mengenai status penerbangan masing-masing bagi memastikan kelancaran perjalanan.
Dalam satu kenyataan, pihak kedutaan memaklumkan bahawa ruang udara Qatar telah dibuka semula susulan penutupan sementara yang menjejaskan beberapa jadual penerbangan, termasuk bagi rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia yang masih berada di Qatar juga dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa melalui sumber sahih serta mematuhi arahan rasmi Kerajaan Qatar,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial