DUNIA > BERITA

China, Britain Ikrar Perkasa Kerjasama Ekonomi

12/06/2025 04:56 PM

LONDON, 12 Jun (Bernama-CMG) -- Menteri Perdagangan China Wang Wentao mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara Britain bagi Perniagaan dan Perdagangan, Jonathan Reynolds di London pada Isnin.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan mesyuarat ke-14 Suruhanjaya Ekonomi dan Perdagangan Bersama China-Britain seawal mungkin serta menggalakkan kerjasama praktikal dalam pelbagai sektor.

Dalam pertemuan itu, Wang berkata sebagai rakan kongsi utama bagi satu sama lain, China dan Britain harus menyelesaikan perbezaan pendapat melalui rundingan, mencungkil potensi menerusi dialog, di samping memperkasa kerjasama dalam bidang seperti pembangunan lestari, ekonomi digital, ekonomi hijau dan kewangan.

China komited untuk terus memperluas keterbukaan bertaraf tinggi dan mengalu-alukan syarikat Britain datang melabur dan mengembangkan urus niaga di negara Tembok Besar.

Beliau berkata selaku anggota penting Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), China dan Britain harus berdiri teguh menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang berteraskan WTO.

Sementara itu, Reynolds menzahirkan kesediaan pihaknya untuk memperkasa perdagangan dua hala dengan China, khususnya membabitkan sektor  perkhidmatan. 

Syarikat China dialu-alukan untuk terus menanam modal di Britain, kata beliau sambil meluahkan harapan supaya dua negara bersinergi membina hubungan ekonomi dan perdagangan yang lebih stabil, pragmatik dan boleh diramal.

– BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan