DUNIA > BERITA

Semarakkan Semangat "China-Asia Tengah", Dorong Pembangunan Berkualiti Kolaborasi Serantau

18/06/2025 03:22 PM

ASTANA, 18 Jun (Bernama-CMG) -- Presiden China, Xi Jinping menyampaikan ucaptama bertajuk "Semarakkan Semangat 'China-Asia Tengah', Dorong Pembangunan Berkualiti dalam Kolaborasi Serantau" pada Sidang Kemuncak China-Asia Tengah kali Kedua di Istana Merdeka, di sini pada Selasa.

Dalam ucapannya, Xi menggariskan lima saranan utama ke arah membentuk komuniti berkongsi nasib antara China dan negara-negara Asia Tengah.

Pertama, beliau menggesa supaya China dan Asia Tengah terus mempertahankan solidariti berasaskan saling percaya dan sokongan, termasuk memuktamadkan perjanjian persahabatan bagi memperkukuh semangat kejiranan dan kerjasama yang berkekalan.

Kedua, Xi menyeru agar landskap kerjasama dipertingkatkan melalui kecekapan dan ketersambungan, termasuk menjamin kelancaran dan kelangsungan perdagangan, pelaburan industri, kesalinghubungan, perlombongan hijau, pemodenan pertanian, serta mobiliti tenaga kerja, dengan memanfaatkan inisiatif "Tahun Pembangunan Berkualiti Kerjasama China-Asia Tengah" 2025-2026.

Ketiga, China bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya kepada negara-negara Asia Tengah dalam usaha membanteras keganasan dan jenayah rentas sempadan serta memelihara keselamatan ruang siber serta biologi dalam senario serantau yang memperjuangkan matlamat keamanan yang kesentosaan.

Keempat, China akan memperhalusi perlaksanaan projek kerjasama dengan Asia Tengah dalam bidang perlembagaan, politik, wanita, belia, media dan kumpulan pemikir, di samping merancakkan pertukaran pengalaman dalam bidang tadbir urus negara.

Kelima, Xi menekankan kepentingan mempertahankan keadilan antarabangsa, menentang amalan hegemoni dan pembulian negara kuasa besar dalam bidang politik, mendorong multipolarisasi dunia yang sama rata dan teratur serta globalisasi ekonomi yang inklusif.

"China tidak akan berganjak daripada usaha memperluas keterbukaan, dan giat mendorong pelaksanaan agenda pemerkasaan negara secara menyeluruh serta kebangkitan nusa dan bangsa di tengah-tengah lanskap antarabangsa yang penuh dengan perubahan pantas."

"Untuk itu, China bersedia bersama-sama dengan negara Asia Tengah meningkatkan kualiti dalam kolaborasi, memanfaatkan persamaan demi kepentingan bersama dan mewujudkan pembangunan bersama", kata Xi.

Pada sidang kemuncak itu, Xi dan pemimpin dari negara Asia Tengah, iaitu Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, dan Uzbekistan menandatangani Perisytiharan Astana, serta Perjanjian Persahabatan, Kejiranan dan Kerjasama secara Berkekalan.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan