BEIJING, 19 Jun (Bernama-CMG) -- China bersedia bekerjasama dengan Mesir untuk memperkasakan komunikasi dan koordinasi menerusi platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu demi menggalakkan rundingan damai dan mewujudkan keamanan di kawasan Timur Tengah.
Menteri Luar China, Wang Yi berkata demikian dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdelatty pada Rabu.
Wang yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China berkata bahawa Israel tidak mematuhi undang-undang dan norma antarabangsa hingga menyebabkan ketegangan di Timur Tengah. China amat bimbang terhadap situasi semasa yang mungkin tidak dapat terkawal.
"China sekali lagi menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik, terutamanya Israel, melaksanakan gencatan senjata dengan segera, meredakan ketegangan dan mewujudkan syarat kembali ke meja dialog secara damai demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di rantau itu.
"Mesir bersama dengan menteri luar dari 20 negara Arab dan Islam mengeluarkan kenyataan bersama baru-baru ini untuk mendesak gencatan senjata dan menyambung semula rundingan mengenai isu nuklear Iran bagi mewujudkan keamanan serantau yang berkekalan.
"China menyokong sepenuhnya terhadap langkah yang amat diperlukan dan tepat pada waktunya itu, bertujuan untuk meredakan ketegangan situasi semasa," kata Wang.
Wang juga berkata, masyarakat antarabangsa terutamanya negara-negara serantau perlu mencapai konsensus dan mengambil tindakan yang bersepadu pada saat kritikal ini.
Badr Abdelatty pula berkata, situasi Timur Tengah sudah berada pada tahap kritikal dan masyarakat antarabangsa amat bimbang jika rantau ini terjerumus dalam kancah pergolakan, sehingga membahayakan keselamatan pelbagai negara serantau.
"Serangan Israel terhadap Iran merupakan pengkhianatan terhadap undang-undang antarabangsa, dan Mesir mengecam tindakan itu serta menantikan isu nuklear Iran kembali ke landasan penyelesaian secara politik dengan secepat mungkin," katanya.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial