Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Ucap Tahniah Kepada Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung

04/06/2025 12:30 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Lee Jae-myung atas pelantikannya sebagai Presiden Korea Selatan.

"Ini menandakan titik perubahan bagi Korea Selatan, sebuah negara yang muncul menerusi pertandingan sengit dan teliti, dengan daya tahan dan keazaman demokratik. Rakyat telah bersuara, mahukan pembaharuan kepercayaan, institusi, dan tujuan nasional," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Anwar berkata beliau mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan Lee bagi mengukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara dalam perdagangan dan teknologi, keamanan dan keselamatan, dan hubungan berkekalan antara rakyat.

Hubungan Malaysia-Korea Selatan telah ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik pada November lepas, satu peristiwa penting yang mencerminkan cita-cita bersama kedua-dua negara.

Beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 juga berharap untuk melihat ASEAN memainkan peranan yang lebih menonjol dalam tinjauan serantau Korea Selatan. Korea Selatan kini mempengerusikan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

“Sebagai Pengerusi ASEAN dan APEC masing-masing pada 2025, Malaysia dan Korea Selatan berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui inisiatif serantau yang berimpak.

"Dalam tempoh kekalutan global, perkongsian yang lebih mendalam antara Asia Tenggara dan Korea Selatan akan menjadi sesuatu yang amat diperlukan untuk kita semua," katanya.

Anwar juga mengharapkan kebijaksanaan dan kejayaan Lee dalam melangkah ke hadapan dan berkata beliau berharap dapat bertemu dengannya di Kuala Lumpur Oktober ini untuk Sidang Kemuncak pimpinan ASEAN, dan sekali lagi di Gyeongju, Korea Selatan, untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di akhir bulan berkenaan.

Lee secara rasmi memulakan penggal lima tahunnya hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) mengesahkan kemenangannya dalam pilihan raya semasa sesi pleno.

Calon Parti Demokratik (DP) liberal memenangi pilihan raya itu dengan 49.42 peratus undi, menewaskan saingan Kim Moon-soo dari People Power Party yang menerima 41.15 peratus undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan