Daripada Massita Ahmad
MAKKAH, 3 Jun (Bernama) -- Arab Saudi meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi menjelang musim haji tahun ini dengan melaksanakan pelbagai inisiatif logistik, teknologi dan digital yang menyeluruh bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kecekapan untuk jemaah dari seluruh dunia.
Jurucakap rasmi Kementerian Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik - Musim Haji, Saleh Ibrahim Al-Zuwaid berkata lebih 45,000 petugas telah dikerahkan dalam rangkaian pengangkutan dan logistik bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang musim haji.
“Pasukan kami bekerja tanpa henti bagi memastikan jemaah menerima perkhidmatan yang terbaik,” katanya semasa sidang media pada Isnin.
“Kami menggesa semua jemaah agar mematuhi garis panduan dan arahan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa demi keselamatan dan kesejahteraan semua sepanjang perjalanan haji.”
Sebagai sebahagian usaha mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan jemaah, Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain telah menjadualkan 4,700 perjalanan sepanjang musim haji.
Rangkaian itu dijangka mampu menampung sehingga dua juta penumpang, dengan peningkatan sebanyak 400,000 tempat duduk berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, inisiatif “Haji Tanpa Bagasi” kini dilaksanakan untuk jemaah yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah.
Menerusi program ini, jemaah dibawa terus ke Makkah menaiki tren manakala bagasi mereka dihantar secara berasingan ke tempat penginapan melalui sistem logistik yang diselaras.
“Pengasingan pergerakan penumpang dan bagasi membolehkan proses ketibaan lebih cepat dan membolehkan jemaah menumpukan perhatian kepada ibadah mereka tanpa gangguan,” kata jurucakap berkenaan.
Pihak berkuasa Arab Saudi turut mengesahkan pelaksanaan penuh fasa kedua pelan operasi yang disokong pasukan teknikal khusus.
Usaha ini dipergiat semasa cuti Aidiladha, yang lazimnya merupakan antara tempoh paling sibuk sepanjang musim haji.
“Strategi operasi kami diselaraskan dengan ketibaan jemaah melalui pelbagai pintu masuk dan telah membantu melancarkan keseluruhan pengalaman haji,” katanya.
Sementara itu, jurucakap rasmi bagi Ekosistem Komunikasi dan Teknologi - Musim Haji, Saad Saleem Al-Shanbari, menekankan peningkatan besar dalam infrastruktur digital di seluruh lokasi suci, dengan liputan 4G dan 5G di Makkah, Madinah dan kawasan sekitar melepasi jangkaan.
Kelajuan Internet telah mencapai 264 Mbps di Makkah dan 336 Mbps di Madinah, membolehkan jemaah kekal berhubung dengan mudah.
“Infrastruktur digital memainkan peranan penting dalam mempertingkat pengalaman keseluruhan jemaah, daripada navigasi dan komunikasi hingga kepada akses maklumat masa nyata,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif digital, kerajaan Arab Saudi turut menguji pelbagai teknologi termasuk sistem pengurusan orang ramai berasaskan kecerdasan buatan (AI), kamera pemantauan canggih dan alat komunikasi selamat dengan kerjasama agensi keselamatan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CITC) Arab Saudi memaklumkan bahawa daripada 29 teknologi baharu yang diperkenalkan tahun ini, 13 daripadanya telah terbukti berjaya digunakan dalam musim-musim haji terdahulu.
Ini termasuk alatan untuk pengurusan perkhidmatan kesihatan dan pemantauan pergerakan jemaah secara berkesan.
Sebagai respons terhadap cabaran cuaca panas melampau, pihak berkuasa turut mengaktifkan teknologi penyejukan jalan di laluan pejalan kaki, sekali gus menurunkan suhu permukaan dan meningkatkan keselesaan jemaah semasa berjalan.
“Keputusan awal daripada sensor pemantau suhu menunjukkan penurunan ketara tahap kepanasan di laluan yang disejukkan,” kata jurucakap itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial