DUNIA > BERITA

Presiden Prabowo Seru Israel Iktiraf Palestin

28/05/2025 11:43 PM

JAKARTA, 28 Mei (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyeru agar Israel mengiktiraf kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara dan menyatakan bahawa langkah tersebut akan membuka jalan Indonesia menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.

Beliau  menegaskan sokongan berterusan Indonesia terhadap penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-Israel.

“Indonesia telah menyatakan bahawa sebaik sahaja negara Palestin diiktiraf oleh Israel, kami bersedia mengiktiraf Israel dan membuka hubungan diplomatik.

“Kami juga bersedia menyumbangkan pasukan pengaman ke kawasan tersebut,” katanya menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Presiden.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron di Istana Merdeka, Jakarta Pusat pada Rabu. Macron berada di sini sempena lawatan selama tiga hari yang berakhir Khamis.

Prabowo telah menggunakan pelbagai forum antarabangsa untuk menyuarakan pandangan Indonesia bahawa penyelesaian dua negara merupakan satu-satunya jalan ke arah perdamaian berkekalan di Timur Tengah.

Sementara itu, Prabowo merakamkan penghargaan terhadap peranan aktif Perancis dalam memperjuangkan keadilan dan kemerdekaan untuk rakyat Palestin, seriring visi Indonesia dalam mendesak keganasan dihentikan dan akses kemanusiaan di Gaza diperluasakan.

Pendekatan Indonesia terhadap penyelesaian konflik Palestin-Israel sejajar dengan amanat Undang-Undang Dasar Negara Republik Indonesia Tahun 1945 yang menekankan komitmen untuk menyumbang kepada keamanan dunia yang berasaskan kemerdekaan, keamanan berkekalan dan keadilan sosial, menurut kenyataan itu.

Media melaporkan Perancis dan Arab Saudi akan mempengerusikan secara bersama "Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Secara Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara" di di New York bulan depan.

Macron berada di sini sempena lawatan selama tiga hari yang berakhir Khamis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan