Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 25 Mei (Bernama) -- Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa kira-kira satu juta penduduk di kawasan terjejas gempa bumi di Myanmar memerlukan bantuan segera — termasuk makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan — tatkala musim monsun semakin menghampiri negara Asia Tenggara itu.
Bencana alam dijangka memburukkan lagi penderitaan 3.5 juta penduduk yang hilang tempat tinggal dan berdepan kekurangan makanan serta tempat perlindungan sejak gempa bumi pada 28 Mac memusnahkan sebahagian wilayah negara itu.
“Keadaan masih amat sukar. Sudah tujuh minggu berlalu dan cabarannya ialah keperluan kemanusiaan yang meningkat sedangkan dana pula semakin berkurangan.
“Kami anggarkan hampir sejuta orang memerlukan bantuan segera, sekurang-kurangnya bantuan keterjaminan makanan,” kata Penyelaras Kecemasan dan Ketua Pasukan WFP di Mandalay, Sudip Joshi kepada Bernama.
Satu lagi pusat gempa bermagnitud 7.7 ialah di wilayah Sagaing.
Hampir 3,800 nyawa terkorban dalam tragedi berkenaan.
Monsun tropika dijangka bermula pada Mei, manakala Jun dan Julai bakal menyaksikan musim hujan sehingga Oktober, dengan risiko banjir kilat, tanah runtuh, petir dan hujan lebat.
Reliefweb dalam laporan minggu lalu mendedahkan bahawa Myanmar merupakan antara negara yang sangat berisiko terhadap bencana dan krisis kemanusiaan — menduduki tangga ke-11 daripada 191 negara dalam Indeks Pengurusan Risiko INFORM.
Perang saudara terus berlarutan antara tentera dan kumpulan bersenjata, kemusnahan infrastruktur serta ancaman cuaca dijangka memperburuk kesengsaraan penduduk yang hilang tempat tinggal, menurut petugas bantuan.
Menurut WFP, seramai 15 juta rakyat Myanmar telah pun menghadapi masalah kekurangan makanan sebelum gempa bumi akibat konflik bersenjata susulan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.
Agensi yang diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu telah menghantar lebih 100 tan metrik makanan dari Yangon ke Mandalay, Nay Pyi Taw dan wilayah Sagaing selepas bencana.
Agensi kemanusiaan antarabangsa yang beroperasi di lapangan bimbang bahawa bencana alam dan konflik bersenjata yang berlarutan akan memburukkan lagi keadaan — termasuk kekurangan tempat perlindungan asas, risiko penyakit bawaan air, masalah keterjaminan makanan dan pengedaran bantuan.
“Musim monsun telah pun bermula, dan ini hanya akan menambah penderitaan. Ramai yang masih tinggal di khemah sementara dan tidak tahu ke mana hendak dituju.
"Penduduk di Sagaing dan sebahagian Mandalay sudah pun melarikan diri akibat konflik.
“Kini ramai antara mereka berlindung di biara, institusi keagamaan dan tempat awam — yang turut rosak akibat gempa. Jadi, ini krisis berganda,” kata Joshi.
Beliau turut memberi amaran bahawa kanak-kanak paling terkesan kerana mereka lebih mudah terdedah kepada pelbagai risiko, terutama semasa musim hujan.
“Amat menyedihkan apabila banyak sekolah turut musnah di enam lokasi yang terjejas akibat gempa.
"Kanak-kanak perlu diberi perhatian, termasuk sokongan psikososial. Kembali ke bangunan yang rosak boleh menjadi pengalaman yang menakutkan,” katanya.
Lebih 200 sekolah dilaporkan rosak dalam tragedi itu, dan di Mandalay sahaja, sekitar 60 buah sekolah musnah.
WFP turut menyimpan biskut berkhasiat di gudang untuk menyokong 20,000 orang ketika kecemasan.
Sepanjang program bantuan ini, WFP membantu hampir 400,000 orang di Sagaing, Mandalay, Shan Selatan dan Nay Pyi Taw dengan bantuan makanan dan wang tunai dalam tempoh kurang daripada enam minggu.
Agensi itu merancang membantu sehingga 150,000 orang menjelang Jun dan kini memerlukan RM85 juta (US$20 juta) untuk meneruskan tindak balas kecemasan berkaitan gempa bumi, serta RM254 juta (US$60 juta) lagi untuk menangani krisis kebuluran yang berterusan di seluruh Myanmar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial