KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- ASEAN menggesa Myanmar supaya mematuhi sepenuhnya Konsensus Lima Perkara sebagai prasyarat sebelum mengadakan sebarang pilihan raya di negara itu, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata ASEAN telah menyampaikan mesej yang jelas, tegas dan konsisten kepada Myanmar bahawa sebarang perbincangan mengenai pilihan raya hanya boleh dilakukan selepas pelaksanaan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara.
“Tiada gunanya mengadakan pilihan raya jika hanya disertai sebahagian rakyat Myanmar. Ia hanya akan memburukkan keadaan. Bagi ASEAN, kami amat menegaskan agar Konsensus Lima Perkara ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Majlis Pentadbiran Negara (SAC).
“Pilihan raya bukan keutamaan ASEAN. Apa gunanya jika ia hanya dijadikan helah untuk memperdaya pandangan masyarakat antarabangsa. Jadi, ia langsung tidak bermakna,” katanya pada sidang media di sini hari ini, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 esok.
Pada 21 Mei lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC) Myanmar menyatakan bahawa tarikh pilihan raya telah ditetapkan secara tentatif dan akan diumumkan tidak lama lagi, susulan pengumuman SAC bahawa pilihan raya akan diadakan pada Disember.
Mohamad berkata ASEAN sekali lagi menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara kekal sebagai asas penyelesaian krisis politik di Myanmar dan menyeru agar SAC menunjukkan komitmen kukuh terhadap pelaksanaannya memandangkan SAC merupakan satu daripada pihak yang mendatangani konsensus itu.
Beliau berkata selepas proses rundingan inklusif tercapai, barulah Myanmar boleh melangkah ke arah membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar demokratik.
"Tidak perlu tindakan luar daripada itu. Ini isu dalaman ASEAN dan biarlah ASEAN yang menyelesaikannya tetapi kita (ASEAN) mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan ataupun sokongan daripada pihak luar terutamanya di dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang memerlukan bantuan," katanya.
Mohamad juga berkata Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN yang berlangsung hari ini telah bersetuju untuk ASEAN menggunakan perundingan dalaman terhadap cadangan untuk melantik seorang Utusan Khas Tetap ASEAN mengenai Myanmar untuk satu penggal selama tiga tahun - satu langkah bagi memastikan kesinambungan dan kemampanan dalam libat urus bagi menangani krisis yang berlarutan itu.
Beliau berkata ASEAN bersetuju untuk meneroka cadangan di tengah-tengah kekecewaan dengan pendekatan semasa, yang mana utusan khas bertukar setiap tahun berdasarkan giliran kepengerusian, satu aturan yang melengahkan kemajuan dan menjejaskan momentum.
Ditanya adakah dasar tidak campur tangan ASEAN telah mengehadkan keupayaan dalam menangani konflik dalaman yang berlaku di Myanmar, Mohamad berkata dasar ASEAN adalah jelas dan kekal iaitu tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara lain.
Bagaimanapun katanya: "Apa yang berlaku dalam Myanmar sekarang ini dia tidak lagi terbatas kepada Myanmar. Dia dah jadi jenayah rentas sempadan, pengubahan wang haram, penipuan pekerjaan dan Malaysia sendiri terpaksa menguruskan lebih 200,000 orang Rohingya.
Ini dah jadi masalah dalam ASEAN bukannya nak mencampuri hal ehwal dalaman mereka (Myanmar)," kata Menteri Luar Malaysia itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial