DUNIA > BERITA

CHINA SOKONG MALAYSIA UNTUK DAPATKAN PEMBANGUNAN YANG SESUAI DAN MAINKAN PERANAN DALAM ARENA ANTARABANGSA

26/04/2024 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- China akan menyokong kuat Malaysia dalam usaha mendapatkan  pembangunan yang sesuai dengan keadaan negaranya dan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempromosikan prinsip Malaysia MADANI dalam tadbir urus.   

Menteri Luar China  Wang Yi berkata Beijing juga sedia untuk mengukuhkan pertukaran di peringkat tinggi dengan Malaysia, bekerjasama untuk pembangunan bersama dan mengeratkan kerjasama yang memberikan manfaat bersama untuk rakyat di kedua-dua negara.

“China mengutamakan pembangunan hubungan China-Malaysia dalam diplomasinya dengan negara jiran. 

China sedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi melaksanakan persefahaman bersama yang dicapai antara pemimpin kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan berikutan pertemuan dua hala antara beliau dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan di Beijing pada Khamis,   

Mengenai ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik China-Malaysia tahun ini, Wang Yi berkata sambutan itu merupakan acara penting untuk membina sesuatu daripada pencapaian sebelumnya dan   membawa satu masa hadapan yang lebih baik. 

“Kedua-dua negara adalah dua tetangga yang baik dan berkongsi suka dan duka, serta persabahatan tradisional mereka tidak terganggu seperti sebatang sungai yang mengalir. 

Sejak terjalinnya hubungan diplomatik separuh abad dahulu, China dan Malaysia sememangnya teman baik dan rakan sejati, mempercayai satu sama lain dan saling bantu-membantu tanpa mengira bagaimana keadaan di peringkat antarabangsa berubah,” katanya.

“Ada potensi besar dalam kerjasama China-Malaysia,” katanya sambil menambah kedua-dua pihak seharusnya mempercepatkan kerjasama dalam infrastruktur terutamanya dalam kerjasama berkualiti tinggi ‘Belt and Road’ , ekonomi digital, pembangunan hijau dan kenderaan tenaga baharu, antaranya.    

Kedua-dua negara juga seharusnya mempromosikan inisiatif “Dua Negara, Taman Berkembar” yang dinaik taraf, melaksanakan pertukaran pengalaman mengenai pembasmian kemiskinan dan pertukaran antara pihak dan terus menggerakkan pembangunan hubungan dua hala,” katanya.

Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian dan memberi manfaat bersama.

Wang Yi berkata Malaysia ialah anggota ASEAN yang penting, wakil ekonomi memuncul dan sebuah kuasa yang aktif dan stabil dalam dunia Islam.   

Oleh kerana itu, beliau berkata China sedia untuk mengukuhkan komunikasi dan koordinasinya dengan Malaysia, mengutarakan pendiriannya di arena antarabangsa, mendukung keadilan antarabangsa dan menjaga kepentingan bersama Dunia Selatan. 

Kenyataan itu juga memetik Mohamad sebagai berkata Malaysia akan bekerjasama dengan China untuk mengambil peluang daripada hubungan diplomatik yang mencecah usia 50 tahun itu bagi mengukuhkan lagi pertukaran di semua peringkat.  

Ini termasuk mempereratkan kerjasama dalam peralihan tenaga dan ekonomi digital selain belajar daripada pengalaman China dalam pembangunan dan pembasmian kemiskinan serta mencipta satu masa hadapan yang lebih baik dalam hubungan bilateral. 

Mohamad berkata Malaysia amat menghargai pendirian China yang adil dalam konflik Palestin-Israel dan teguh dalam menyokong  penyelesaian yang wajar dalam soal Palestin menerusi penyelesaian dua negara.  

Wang Yi berkata China sedia untuk mengukuhkan koordinasi dan kerjasama dengan Malaysia untuk berusaha mendapatkan penyelesaian yang komprehensif, adil dan berpanjangan dalam soal Palestin pada masa terdekat.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan