DUNIA > BERITA

PUSAT KAJIAN MALAYSIA PERTAMA DI JEPUN DIBUKA, TINGKAT PROMOSI PENYELIDIKAN DUA NEGARA

06/05/2024 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pusat Kajian Malaysia yang pertama di Jepun kini dibuka bertujuan mempromosikan penyelidikan berkaitan Malaysia dari perspektif kemanusiaan dan sains sosial.

Menurut satu kenyataan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Jepun berkata, pembukaan pusat kajian itu juga bagi menggalakkan kerjasama penyelidikan antarabangsa dengan memberi tumpuan terhadap isu-isu sosial di kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata hubungan akrab di antara kedua-dua negara yang terbentuk sejak tahun 1957 berperanan penting kepada pembangunan sumber manusia, terutamanya melalui pewujudan Dasar Pandang ke Timur atau Look East Policy (LEP) pada tahun 1981.

“Selama bertahun-tahun, LEP telah menjadi salah satu pemangkin kepada anjakan pertumbuhan ekonomi dan pendidikan di Malaysia melalui penekanan terhadap pemindahan kemahiran, budaya kerja, pengetahuan, disiplin dan nilai-nilai murni masyarakat Jepun melalui penglibatan pelajar-pelajar dan pelatih-pelatih Malaysia yang menyambung pelajaran dan latihan di Jepun,” kata Shahril Effendi.

Beliau yang juga merasmikan pusat kajian itu juga menambah pembukaan pusat kajian itu juga bertepatan dengan objektif Perkongsian Strategik dan Komprehensif Malaysia-Jepun yang diumumkan oleh kedua-dua pemimpin negara pada Disember tahun lepas.

Majlis turut dihadiri oleh Presiden Universiti Soka, Prof Suzuki Masashi; Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kadaruddin Aiyub dan Dekan Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Hanafi Hussin.

Masashi berkata pusat kajian itu juga bakal memainkan peranan dalam meningkatkan wacana ilmiah dalam bidang kemanusiaan dan sosial sains.

Masashi juga yakin bahawa pusat kajian itu akan dapat berfungsi sebagai mercu tanda kerjasama penyelidikan antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada cabaran-cabaran masyarakat yang didepani oleh kedua-dua negara.

Kerjasama di antara Universiti Soka dan institusi-institusi akademik di Malaysia telah bermula sejak tahun 1988 apabila Pengasas Universiti Soka, mendiang Dr Daisaku Ikeda memulakan kerjasama dengan UM.

Kerjasama itu telah membuka peluang bagi pertukaran akademik, penganjuran simposium serta inisiatif penyelidikan berimpak tinggi.

Kini, Universiti Soka turut melebarkan rangkaian pendidikannya di Malaysia dengan membuka Sekolah Antarabangsa Soka di Negeri Sembilan dan Tadika Seri Soka di Cheras, Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan