KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Acara Suria KLCC x LEGO® Play Run 2026 melakar sejarah menerusi kemunculan buat julung-julung kalinya di Asia Tenggara pada 6 Jun lepas, yang menarik ribuan peserta dan menandakan kemuncak kepada kempen kesejahteraan bertemakan LEGO di seluruh negara.
Suria KLCC dalam kenyataan memaklumkan acara larian santai interaktif sejauh 2 kilometer (km) itu menjadi acara kemuncak kepada LEGO® MY Play Festival yang berlangsung selama beberapa minggu yang berjaya menghidupkan Suria KLCC dan KLCC Park sebagai pusat sambutan LEGO® dunia nyata terbesar pernah diadakan di Malaysia dari 21 Mei hingga 7 Jun.
Dianjurkan sebagai tonggak utama kepada kempen tahunan kesihatan mental dan fizikal Suria KLCC, “Play Run 2026” menggabungkan elemen kecergasan fizikal, interaksi dunia nyata dan penceritaan interaktif secara harmoni.
"Peserta berlari melalui laluan khas sejauh 2 km di sekitar KLCC Park yang indah, sambil menempuh beberapa halangan dan 'hentian aktiviti'.
"Peserta berlari secara berperingkat mengikut sesi sepanjang hari dan menamatkan larian dengan membawa pulang kit larian eksklusif bertemakan LEGO® serta pingat penamat," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kemuncak acara pada waktu malam diserikan lagi dengan pertunjukan visual yang memukau apabila ruang luar bangunan pusat beli-belah ikonik Suria KLCC dihiasi dengan pancaran cahaya daripada pertunjukan LEGO® 3D Projection Mapping yang direka khas.
"Pertunjukan itu yang ditayangkan dari pukul 8 malam hingga 10 malam pada 6 dan 7 Jun itu memaparkan animasi pembinaan blok LEGO® berskala besar yang menggabungkan elemen budaya bermain global dengan simbol warisan Malaysia, sekali gus menarik perhatian ribuan pengunjung di kawasan Esplanade," menurut kenyataan itu.
Program berkenaan turut membawakan semula inisiatif kesihatan mental Safe Space bermula dari 25 Mei hingga 7 Jun yang menyediakan pelbagai bengkel pendidikan, aktiviti terapi praktikal dan sokongan psikologi dengan kerjasama strategik bersama-sama Persatuan Kesedaran & Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), NYAWA, The Befrienders KL, IHH Healthcare and Petrosains.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan berkata kempen itu mencerminkan komitmen organisasi berkenaan untuk menggabungkan pengalaman runcit dengan impak kesejahteraan komuniti yang bermakna.
"Di Suria KLCC, kami sentiasa komited untuk melangkaui peranan ruang runcit tradisional dengan membawakan acara interaktif bertaraf dunia yang bermakna dan mampu memperkasakan komuniti setempat. Kerjasama bersejarah dengan The LEGO® Group ialah bukti nyata kepada usaha berkenaan.
"Dengan menyatukan falsafah pembelajaran praktikal LEGO® bersama dengan advokasi kesihatan mental dan fizikal tahunan kami, kami berjaya mengangkat sambutan cuti sekolah ini menjadi satu platform yang memberikan impak sosial yang mendalam," katanya dalam kenyataan itu.
Tan berkata sambutan luar biasa dan maklum balas positif komuniti terhadap program berkenaan membuktikan bahawa masyarakat hari ini mahukan interaksi dunia nyata, dan melalui gabungan aktiviti fizikal, penglibatan interaktif penyewa dan sokongan kesihatan mental yang penting di bawah satu kempen bersepadu berjaya mewujudkan persekitaran kesejahteraan yang holistik.
Festival itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk binaan blok bata yang besar antaranya replika Menara Berkembar Petronas yang dibina menggunakan lebih 51,000 blok bata, stesen digital LEGO® Minifigure Converter serta aktiviti bertemakan bola sepak bersempena dengan Piala Dunia FIFA 2026.
Kejayaan Suria KLCC x LEGO® Play Run 2026 ini dijayakan menerusi kerjasama erat dengan rakan penganjur tempat, KLCC Holdings Sdn Bhd, bersama-sama rakan kesihatan rasmi IHH Healthcare selain sokongan perubatan kritikal di tapak acara disediakan oleh Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Prince Court bagi memastikan persekitaran yang selamat dan terkawal untuk semua yang hadir.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.suriaklcc.com.my/www.facebook.com/SuriaKLCCMall.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial