Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kempen "No Single-use Plastic" Dilaksana Di 56 Taman Laut - DOF

08/06/2026 03:58 PM

KUALA NERUS, 8 Jun (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan melaksanakan kempen "No Single-Use Plastic" di 56 pulau Taman Laut di seluruh negara sebagai usaha memelihara ekosistem marin daripada ancaman pencemaran dan mikroplastik.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata kempen yang dilancarkan bersempena dengan sambutan Hari Laut Sedunia 2026 itu bertujuan menggalakkan pelancong, pengusaha resort dan operator pelancongan mengurangkan penggunaan beg plastik ketika mengunjungi pulau-pulau Taman Laut.

Beliau berkata pelancong digalakkan menggunakan bekas simpanan atau bahan mesra alam yang boleh digunakan semula bagi mengurangkan risiko pencemaran marin.

Ad Banner
Ad Banner

"Kita tidak menggalakkan pelancong menggunakan beg plastik untuk datang ke pulau kerana plastik ini akhirnya akan ditinggalkan dan menyebabkan pencemaran kepada ekosistem serta berpotensi menjadi mikroplastik.

"Ia bukan sahaja mengancam hidupan marin, terumbu karang dan rumpai laut, malah juga manusia," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Laut Sedunia 2026, di Taman Laut Pulau Redang, di sini hari ini.

Adnan berkata buat masa ini pendekatan yang diambil lebih menjurus kepada kempen kesedaran tanpa melibatkan tindakan penguatkuasaan atau denda terhadap pelancong.

"Kita masih mengkaji sekiranya kempen ini tidak sesuai, adakah peraturan yang bersesuaian boleh dirangka pada masa akan datang. Tetapi buat masa ini kita lebih kepada peringkat kesedaran," katanya.

Beliau berkata plastik sekali guna merupakan ancaman kepada ekosistem marin kerana boleh dimakan hidupan laut seperti penyu selain berpotensi menjadi mikroplastik yang memasuki rantaian makanan.

Adnan berkata sejumlah 548,598 pengunjung telah direkodkan mengunjungi kawasan Taman Laut Malaysia pada 2025 dan daripada jumlah itu, sebanyak 64 peratus direkodkan di kawasan Taman Laut Terengganu yang merangkumi Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas.

Terdahulu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bersama rakan strategik, iaitu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Aquaria KLCC dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan tiga program bersempena dengan sambutan Hari Laut Sedunia 2026, termasuk program restorasi karang melibatkan penanaman 600 nubbin karang dan pelepasan hidupan liar di Pulau Redang.

Adnan berkata inisiatif restorasi karang penting bagi meningkatkan semula populasi terumbu karang yang mengalami kematian dan kelunturan.

"Sekiranya inisiatif begini tidak dilaksanakan, saya percaya Taman Laut kita akan secara beransur-ansur kehilangan terumbu karang yang amat penting kepada ekosistem marin," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berkata kajian mengenai kehadiran mikroplastik dalam ikan komersial di negara ini masih pada peringkat awal dan memerlukan data lebih menyeluruh.

Beliau berkata ini susulan kajian saintifik yang dijalankan Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) menunjukkan kehadiran mikroplastik dalam ekosistem marin, termasuk dalam spesies ikan komersial yang memberi petunjuk kepada peningkatan tekanan pencemaran terhadap lautan.

DOF telah memohon peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi melaksanakan kajian lanjut, termasuk kerjasama strategik dengan universiti tempatan bagi menilai risiko mikroplastik dalam ekosistem marin negara.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, Pengarah Perikanan Terengganu Pang Nyukang, Ketua Pegawai Eksekutif Aquawalk Group Bhd Daryl Foong, dan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Profesor Dr Zainudin Bachok.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan