Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar Serlah Semangat Perpaduan, Jati Diri Rakyat Johor

09/06/2026 10:00 AM

JOHOR BAHRU, 6 Jun (Bernama) -- Semangat perpaduan “Bangsa Johor”  jelas terserlah menerusi kehadiran masyarakat berbilang kaum pada pembukaan rasmi Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) di sini pada Rabu lepas. 

Tinjauan Bernama mendapati suasana di kompleks itu sangat meriah dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang, yang tekun meneliti keunikan setiap fabrik selain turut bertukar pandangan tentang teknik pemeliharaan khazanah seni di situ.

K. Thananathan, 42, berkata pembukaan kompleks itu merupakan pelaburan masa depan yang penting untuk membina jati diri generasi muda agar tidak hanyut ditelan arus pemodenan.

Ad Banner
Ad Banner

“Kompleks ini sangat bagus kerana tidak hanya mempamerkan barangan ikonik Johor tetapi turut menyediakan pengalaman interaktif yang membuatkan generasi muda lebih menghargai asal usul. Keunikan tenunan dan seni tradisi di sini sukar diperoleh di tempat lain,” katanya kepada Bernama.

Senada ialah ahli perniagaan Lee Siew Ching, 65, yang menyifatkan KWSAB sebagai platform pendidikan luar bilik darjah yang sangat berkesan dalam memupuk semangat saling menghormati antara kaum.

“Apabila kita membuka ruang untuk masyarakat mempelajari budaya kaum lain dengan mendalam, kita sebenarnya sedang meruntuhkan tembok prejudis dan membina jambatan persefahaman yang lebih kukuh. Kita perlu menjulang nilai sebegini yang menunjukkan betapa akrabnya kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam Nur Najwa Atilya Mohamad, 30, berkata inisiatif itu merupakan langkah strategik dalam memartabatkan ekonomi kreatif tempatan ke peringkat antarabangsa.

“KWSAB berjaya membuktikan warisan tradisi kita mempunyai nilai komersial tinggi dan mampu menjadi pemangkin kepada industri pelancongan budaya yang mampan. Menerusi pembukaan KWSAB, saya yakin ia akan menjadi platform menonjolkan produk tradisi Malaysia ke peringkat global,” katanya.

Rata-rata pengunjung juga ketika ditemui berkata fasiliti yang kondusif dan keramahan petugas KWSAB mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri Johor dalam memperkasakan usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri itu.

KWSAB menampilkan pelbagai tarikan seperti Pakej Lawatan Warisan KWSAB, Persembahan Kebudayaan Tradisional, Galeri Seni, Anjung Warisan, Galeri Tenun Johor, pengenalan pakaian Bangsa Johor, demonstrasi Sanggul Tradisional serta pengalaman interaktif yang mengangkat keunikan seni, budaya dan warisan kepelbagaian rakyat negeri itu.

Bersempena dengan pembukaan kompleks itu, promosi KWSAB Tour ditawarkan sehingga 2 Julai pada kadar RM5 bagi dewasa warganegara manakala warga emas, kanak-kanak dan pelajar tempatan berusia dua hingga 17 tahun dikenakan RM2.

Bagi bukan warganegara, pas masuk ditetapkan pada kadar RM30 untuk dewasa dan RM20 bagi warga emas serta kanak-kanak atau pelajar manakala golongan orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak di bawah dua tahun percuma.

Pengarah Yayasan Warisan Johor Nor Syazlan Abd Razak berkata usaha menaik taraf kompleks itu melibatkan pemeliharaan seni bina ikonik seperti Rumah Limas yang dijadikan kaunter tiket serta Rumah Zapin selain mempelbagaikan pengisian galeri seni untuk tatapan pengunjung.

“Bagi menyuntik elemen moden, KWSAB bakal menampilkan teknologi imersif digital bagi menghidupkan karya lukisan anak tempatan selain memperkenalkan Galeri Kulinari yang mempamerkan replika makanan tradisional.

“Gabungan elemen rekreasi dan pembelajaran interaktif ini bertujuan memberikan kefahaman lebih jelas kepada masyarakat mengenai identiti serta kepelbagaian etnik Bangsa Johor,” katanya.

Sementara itu Pengarah Tourism Johor Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata promosi destinasi baharu itu akan dipergiat secara agresif bersama-sama produk pelancongan lain yang baru dilancarkan seperti Danga Park bagi menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Johor 2026.

Beliau berkata kepelbagaian produk pelancongan berteraskan sejarah dan budaya itu mampu menjadi penanda aras baharu yang kompetitif dalam menarik kehadiran pelancong selain melengkapkan rantaian destinasi rekreasi sedia ada di Johor.

KWSAB beroperasi dari 9 pagi hingga 5 petang dari Selasa hingga Khamis dan Ahad manakala dari 3 petang hingga 10 malam pada Jumaat serta dari 9 pagi hingga 10 malam pada Sabtu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan