Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dorsett, Tourism Malaysia Lancar Kempen Diskaun Penginapan Hotel Hingga 30 Peratus

09/06/2026 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Rakyat Malaysia berpeluang menikmati diskaun penginapan hingga 30 peratus, serta sajian makanan istimewa dan pengalaman percutian mesra keluarga di 13 hotel Dorsett di seluruh negara bermula hari ini hingga 31 Dis depan menerusi kempen “Jom Cuti! Bersama Wira & Manja”.

Kempen yang dilancarkan hari ini melalui kerjasama Tourism Malaysia dan Dorsett Hotels Malaysia di bawah tema Cuti-Cuti Malaysia “Destinasi Indah, Harga Rahmah” itu bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong di dalam negara, di samping menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata pelancongan domestik kekal sebagai tulang belakang industri pelancongan negara, merangsang permintaan perjalanan, memacu ekonomi tempatan serta memperkukuh ekosistem pelancongan secara menyeluruh.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pelancongan domestik sentiasa memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelangsungan industri, terutama ketika krisis, seperti selepas pandemik COVID-19 apabila pelancong domestik membantu mengisi bilik hotel.

“Kita melihat corak yang sama sekali lagi ketika ketegangan geopolitik baru-baru ini, apabila permintaan domestik terus menyokong kadar penginapan hotel. Ketika TMM2026 memasuki pertengahan tahun, saya yakin lebih banyak hotel akan memperkenalkan kempen promosi seperti ini pada masa depan,” katanya ketika majlis pelancaran kempen tersebut di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Amirul berkata akan menyusul pengumuman khas daripada rakan syarikat penerbangan dalam masa terdekat ini bagi menyokong dan memperkukuh kempen pelancongan domestik, dengan butiran lanjut akan diumumkan kemudian oleh syarikat penerbangan masing-masing.

Beliau turut memaklumkan Malaysia menerima 10.6 juta pelawat dalam suku pertama 2026, iaitu peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2025

Sementara itu, Naib Pengerusi Dorsett Malaysia Datin Jasmine Heng menyifatkan kerjasama itu sebagai inisiatif bermakna bagi menggalakkan penerokaan destinasi tempatan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Beliau berkata kempen itu bertujuan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencipta kenangan bermakna sambil menerokai destinasi di seluruh negara, disokong pula oleh tawaran hospitaliti dan pakej promosi eksklusif kumpulan hotel berkenaan.

Menerusi kempen itu, tetamu berpeluang menikmati diskaun 30 peratus bagi kadar bilik, baucar makan bernilai RM50 serta pengalaman penginapan selama 26 jam dengan kemudahan daftar keluar lewat tertakluk kepada ketersediaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan