Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penerbangan Pekanbaru-Melaka Dijangka Rancakkan Pelancongan Kesihatan

08/06/2026 08:59 PM

MELAKA, 8 Jun (Bernama) -- Laluan penerbangan Pekanbaru-Melaka-Pekanbaru dari Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam bermula 10 Jun dijangka merancakkan sektor pelancongan kesihatan negeri menerusi kehadiran pelawat dari Indonesia yang mahu mendapatkan rawatan kesihatan di Melaka.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata penerbangan kendalian Wings Air menggunakan pesawat ATR 72 itu mampu membawa sehingga 72 penumpang dalam satu masa.

Penerbangan itu beroperasi tiga kali seminggu, iaitu pada Rabu, Jumaat dan Ahad dengan penerbangan pertama dijadualkan tiba pada 12.40 tengah hari Rabu ini, membawa lebih 50 penumpang sebelum berlepas semula ke Pekanbaru pada 1.10 tengah hari.

Ad Banner
Ad Banner

“Permintaan bagi perkhidmatan kesihatan di Melaka dalam kalangan rakyat Indonesia sangat tinggi dan laluan ini akan memudahkan mereka mendapatkan rawatan di negeri ini.

“Sebelum ini, ramai menggunakan perkhidmatan feri dan ada yang mengalami kesukaran terutama individu yang memerlukan rawatan kesihatan. Menerusi penerbangan ini, mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan feri atau pengangkutan udara,” katanya pada sidang media di lapangan terbang itu hari ini.

Hameed berkata kerajaan negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) akan bekerjasama dengan hospital swasta bagi mempergiat promosi pelancongan kesihatan untuk menarik lebih ramai pelawat dari Indonesia ke Melaka.

Dalam pada itu, Hameed berkata satu lagi laluan baharu, iaitu Melaka-Pulau Pinang oleh syarikat penerbangan Batik Air dijangka mula beroperasi antara satu atau dua bulan akan datang.

Beliau berkata laluan itu telah mendapat kelulusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan kini dalam proses berkaitan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Penambahan laluan penerbangan itu antara usaha kerajaan negeri memperkukuh sistem pengangkutan udara Melaka sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong dan pelabur dari dalam serta luar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan