Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengunjung Berpeluang "Pluck & Pay" Di Pesta Mempelam Tobiar 2026

04/06/2026 02:42 PM

PENDANG, 4 Jun (Bernama) -- Orang ramai berpeluang merasai pengalaman "Pluck & Pay" pada Pesta Mempelam Tobiar 2026 yang berlangsung di Ladang Mempelam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Tobiar, di sini bermula hari ini hingga Sabtu.

Jurucakap MADA memaklumkan pengunjung berpeluang membeli mempelam varieti Chokanan dengan gred tinggi secara terus dari ladang yang dijamin segar, berkualiti tinggi serta lebih murah berbanding harga pasaran.

“Bagi menghargai pengunjung, MADA menawarkan harga jualan promosi RM6 sekilogram bagi mempelam Chokanan gred tinggi yang dipetik segar terus dari ladang. Pengunjung berpeluang masuk ke dalam ladang untuk memetik sendiri buah yang sudah masak.

Ad Banner
Ad Banner

“Hasil tahun ini juga agak tinggi … kita anggarkan sebanyak 40 tan mempelam akan terjual hingga akhir Jun ini. Penghasilan tinggi mempelam tahun ini didorong oleh keadaan cuaca kemarau sebelum ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Ladang Mempelam MADA Tobiar, di sini hari ini.

Beliau berkata MADA menyasarkan lebih 5,000 pengunjung akan hadir ke pesta yang berlangsung selama tiga hari itu.

Jurucakap itu berkata industri tanaman mempelam adalah yang kedua terpenting selepas tanaman padi di kawasan MADA.

Katanya, sehubungan dengan itu, pihak MADA terus giat mempromosikan keistimewaan serta kesedapan mempelam yang juga dikenali sebagai "Tobiar Gold" itu.

Pesta yang bermula dari 9 pagi hingga 6 petang itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya "Petak Market" yang menghimpunkan pelbagai usahawan yang menawarkan jualan aneka makanan, minuman, produk tempatan serta hasil pertanian.

“Jangan lepaskan peluang mendapat pelbagai anak pokok berkualiti untuk ditanam di rumah atau kebun. Pelbagai pilihan anak pokok buah-buahan dan tanaman lain ditawarkan, sesuai untuk penggemar tanaman serta mereka yang ingin memulakan aktiviti berkebun.

“Pertandingan memasak menu berasaskan mempelam juga ada, selain pertandingan mewarna, acara santai berbasikal, larian serta pertandingan memancing tradisional,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan