ALOR SETAR, 4 Jun (Bernama) -- Status bekalan air yang semakin stabil di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus memberikan keyakinan kepada pesawah apabila kemajuan penanaman padi musim 1/2026 berjalan mengikut jadual.
MADA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, fasa pratepuan mencapai 99.5 peratus, penyediaan tanah 84.8 peratus dan penanaman mula berkembang kepada tahap 12.5 peratus setakat semalam.
Perkembangan positif itu didorong oleh bekalan air yang mencukupi di petak sawah, sekali gus membolehkan aktiviti pratepuan, penyediaan tanah dan penanaman dilaksanakan dengan lancar.
Sehingga semalam, kedudukan semasa takungan air keseluruhan bagi tiga empangan di bawah seliaan MADA direkodkan sebanyak 504,535 ekar kaki, bersamaan 41.25 peratus daripada kapasiti keseluruhan.
"Empangan Pedu merekodkan simpanan sebanyak 375,595 ekar kaki atau 42.93 peratus, manakala Empangan Muda mencatatkan 15,050 ekar kaki atau 12.04 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 113,890 ekar kaki bersamaan 51.07 peratus.
"Bagi catatan hujan harian di kawasan tadahan empangan, sebanyak 9.8 milimeter (mm) direkodkan di Empangan Pedu, diikuti 11.6 mm di Empangan Muda dan 18.0 mm di Empangan Ahning,” menurut kenyataan itu.
Purata hujan terkumpul di kawasan Muda sehingga 2 Jun direkodkan sebanyak 637 mm, dan operasi pelepasan air dari Empangan Pedu dan Empangan Ahning masih diteruskan secara terkawal bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan domestik dan industri sentiasa berada pada tahap stabil serta mencukupi.
Pemantauan berterusan terhadap status bekalan air dan kemajuan aktiviti penanaman padi dilaksanakan bagi memastikan setiap peringkat aktiviti penanaman dapat dijalankan secara teratur serta mengikut jadual ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, MADA juga akan terus memantau perkembangan status bekalan air dan aktiviti penanaman padi dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaan musim 1/2026 serta menjamin produktiviti pengeluaran padi di kawasan jelapang MADA.
Dalam pada itu, MADA turut memohon kerjasama peladang agar menggunakan sumber bekalan air yang tersedia secara berhemah dan optimum bagi mengelakkan pembaziran serta memastikan keperluan pengairan dapat dipenuhi dengan berkesan sepanjang musim penanaman padi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial