Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kebajikan Dan Keselesaan Jemaah Di Arafah Terus Diberi Keutamaan

26/05/2026 03:23 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 26 Mei (Bernama) -- Kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Arafah terus menjadi keutamaan pengurusan haji negara, dengan setiap aspek perkhidmatan dipantau secara dekat bagi memastikan kelancaran ibadah kemuncak itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pemantauan yang dilaksanakan bukan sahaja melibatkan kemudahan penginapan dan logistik, malah merangkumi aspek kesihatan serta kesejahteraan jemaah sepanjang operasi masyair.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata hasil pemantauan dan maklum balas yang diterima setakat ini menunjukkan tahap kepuasan yang baik dalam kalangan jemaah terhadap kemudahan yang disediakan, namun pihaknya tetap terbuka menerima sebarang cadangan penambahbaikan.

"Kebanyakan maklum balas yang kita terima sangat positif, tetapi ada juga beberapa pandangan yang konstruktif.

"Semua perkara itu kita ambil perhatian kerana usaha memperbaiki perkhidmatan kepada jemaah tidak pernah berhenti," katanya selepas meninjau khemah penginapan dan pusat rawatan kesihatan jemaah Malaysia di Arafah, hari ini.

Beliau berkata petugas kesihatan turut menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan jemaah yang berdepan masalah kesihatan mendapat rawatan segera dan sewajarnya agar mereka dapat meneruskan ibadah dengan selesa.

Zulkifli berkata pendekatan menyeluruh yang melibatkan kebajikan, kesihatan dan keselesaan jemaah penting bagi memastikan setiap tetamu Allah dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah.

Pada masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus mendoakan kesejahteraan jemaah haji negara agar dipermudah segala urusan ibadah dan dikurniakan haji yang mabrur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan