KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Seorang pesara tentera maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Pandan, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kemalangan kira-kira 8.30 pagi pada Isnin lepas itu, melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah kereta jenis BMW.
Beliau berkata siasatan awal mendapati penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 45 tahun itu yang sedang bergerak lurus di lorong kiri, dipercayai melanggar bahagian sisi kanan kereta berkenaan yang keluar dari simpang di sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan, sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di bahagian kecemasan hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata pemandu BMW berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penumpang lain di dalam kenderaan itu turut selamat.
Beliau berkata semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran mendapati, pemandu terbabit datang ke lokasi berkenaan untuk mengambil rakannya sebelum bergerak keluar menuju ke Damansara.
Mohd Zamzuri berkata pemandu kereta itu telah ditahan semalam bagi membantu siasatan dan hasil ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) serta saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif alkohol dan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sebelum ini, paparan CCTV menunjukkan kemalangan itu berlaku tular di media sosial Threads.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial