IPOH, 10 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri terus komited memacu pertumbuhan ekonomi kreatif dengan memperuntukkan RM300,000 melalui Dana Kreatif Perak bagi membantu penggiat seni tempatan mengembangkan bakat dan kemahiran mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata inisiatif unik ini merupakan satu-satunya program seumpamanya yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi menyokong secara langsung komuniti kreatif.
Beliau berkata peruntukan berkenaan disalurkan melalui People of Remarkable Talents (PORT) yang bertindak bukan sahaja sebagai penyedia ilmu, tetapi juga sebagai pembimbing kepada peserta untuk melonjakkan karya mereka ke tahap yang lebih tinggi.
"Kita tidak membiarkan peserta begitu sahaja selepas tamat program, malah mereka digalakkan mendaftar di bawah portal PORT untuk pemantauan berterusan.
"Sekiranya mereka mempunyai asas yang kukuh dan menunjukkan kesungguhan, mereka boleh memohon Dana Kreatif Perak melalui proses kertas kerja dan temu duga oleh panel penilai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kem Belia Kreatif 2026: Seni Digital di Casuarina Meru, di sini hari ini.
Khairudin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PORT berkata program edisi keempat itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 120 peserta daripada 130 orang yang mendaftar, merangkumi pelbagai latar belakang anak muda dari seluruh negeri.
"Pemilihan tema Seni Digital pada tahun ini selari dengan keperluan industri semasa yang melihat elemen digital sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan kreativiti.
"Tahun-tahun sebelum ini kita telah menyentuh bidang perfileman (2023), seni cetak (2024), dan seni muzik (2025). Tahun ini, sebanyak empat pengajar hebat dan berpengalaman dalam bidang penciptaan kandungan dibawa khas untuk berkongsi idea serta faktor wow bagi memastikan karya peserta mampu bersaing," katanya.
Khairudin berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan modal insan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030, dengan kerajaan negeri ingin melahirkan pencipta hebat yang mampu menjana pendapatan sendiri, sekali gus menyumbang kepada ekonomi setempat.
"PORT telah menerima 300 permohonan Dana Kreatif Perak, namun bantuan diberi berdasarkan merit, kertas kerja, dan potensi impak terhadap industri seni seperti teater, filem, dan hiburan.
"Dana ini terbuka kepada seluruh rakyat negeri Perak yang mempunyai kemahiran dan minat, namun pemohon mestilah mempunyai asas dan kesungguhan yang jelas untuk dipersembahkan kepada panel penilai bagi melayakkan mereka menerima bantuan kewangan tersebut," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial