KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad menganjurkan satu majlis penyerahan sumbangan kepada Universiti Antarabangsa Qaiwan (QIU), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong pembangunan modal insan Iraq serta memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan.
Kuasa Usaha Neermal Shunmugam berkata dalam satu kenyataan pada Ahad, Malaysia kekal komited untuk menyokong inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan jangka panjang Iraq, terutamanya dalam sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan kapasiti.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara rakyat serta mewujudkan peluang kerjasama masa hadapan antara institusi di kedua-dua negara.
Projek itu dijangka memberi manfaat kepada pelajar di Wilayah Kurdistan Iraq dengan menyokong pembangunan akademik dan memperkukuh hubungan institusi antara pihak berkepentingan di Malaysia dan Iraq.
Kerjasama dengan QIU juga dijangka membuka peluang dalam bidang latihan, penyelidikan, pertukaran akademik dan pembangunan institusi.
QIU, yang merupakan sebuah daripada institusi pengajian tinggi swasta yang sedang berkembang pesat di Wilayah Kurdistan, aktif memperluas penglibatan antarabangsa dan perkongsian akademik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Oktober 2025, Malaysia telah menyiapkan pelaksanaan Pusat Penjagaan Kesihatan Primer yang dibiayai oleh Malaysia di Wilayah Anbar, bertujuan menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan penting bagi masyarakat setempat.
Inisiatif terbaharu ini melengkapkan usaha berterusan Malaysia dalam menyokong komuniti di Iraq menerusi pendidikan, perkongsian ilmu serta kerjasama institusi.
Malaysia turut mengulangi komitmennya untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Iraq dan meneruskan inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan serta daya tahan rakyat Iraq.
Majlis itu yang disempurnakan oleh Neermal dan Naib Pengerusi QIU, Prof Dr Harris Raad, turut dihadiri wakil daripada pihak universiti serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial