Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tambahan Peruntukan MITRA Bukti Kaum India Tidak Terpinggir

10/05/2026 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Keputusan kerajaan meningkatkan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada RM150 juta berbanding RM100 juta sebelum ini, menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak di seluruh negara yang menyifatkan langkah itu sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan terhadap pembangunan komuniti India yang inklusif.

Penambahan peruntukan itu dilihat membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat India dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial selain membantu memperkukuh pelaksanaan program komuniti secara lebih menyeluruh pada peringkat negeri.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata pertambahan peruntukan itu diharap dapat membantu meningkatkan sosioekonomi dan pendidikan dalam masyarakat India.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata menerusi peruntukan berkenaan, pelbagai program seperti kursus perniagaan dan kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat dilaksanakan kepada golongan muda agar mereka dapat menjana pendapatan sendiri, terutama daripada kumpulan B40.

"Kita tidak mahu beri tunai kerana langkah itu tidak akan menyelesaikan masalah untuk jangka panjang, yang kita mahu mereka ini jalani hidup dengan lebih baik dan maju melalui kursus kemahiran yang akan disediakan melalui peruntukan MITRA nanti," katanya.

Pekerja swasta, M. Malini, 35, berkata peruntukan yang diberi itu diharapkan dapat disalurkan kepada golongan memerlukan dengan lebih meluas dalam pelbagai sektor pembangunan masyarakat India termasuk mereka yang tinggal di kawasan estet.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, di SELANGOR, seorang warga emas A. Murugaiya, 63, pula berharap tambahan peruntukan itu dapat digunakan untuk membantu anak muda India mendapatkan latihan kemahiran dan peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Ramai keluarga susah masih perlukan bantuan pendidikan dan latihan supaya generasi muda dapat keluar daripada kitaran kemiskinan. Saya harap dana tambahan ini benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di Pandamaran, Klang. 

Sementara itu, Orang Kurang Upaya (OKU) R. Chandra Segaran, 66, yang lumpuh di bahagian kaki berharap kerajaan memberikan perhatian kepada kebajikan golongan kurang upaya termasuk bantuan peralatan perubatan, kemudahan akses dan bantuan sara hidup.

“Saya bersyukur kerajaan menambah peruntukan MITRA. Harapan saya supaya golongan OKU dalam masyarakat India tidak dipinggirkan dan lebih banyak program bantuan diwujudkan untuk kami,” katanya.

Di PAHANG, Naib Presiden Majlis Belia Negeri D. Anbalagan Devar berkata inisiatif itu merupakan langkah positif kerajaan yang dilihat dapat membantu menggerakkan program pada peringkat akar umbi kepada masyarakat India, khususnya kepada belia. 

Dalam pada itu, beliau turut berharap pengurusan MITRA menyalurkan dana ini secara komprehensif dan menyeluruh kepada badan gabungan belia untuk bersama-sama melaksanakan program bagi memperkasakan golongan muda. 

Sementara itu, di KEDAH, Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jerai S. Poobalan berkata penambahan RM50 juta itu membolehkan lebih ramai masyarakat India di negeri itu mendapat manfaat, terutamanya golongan B40.

“Hasil penambahan peruntukan itu, banyak aspek boleh ditambah baik dalam program yang telah dirangka di bawah MITRA,” katanya.

Bagi penjawat awam S. Ishani Devi, 38, tambahan peruntukan itu dapat membantu melahirkan masyarakat India yang lebih bijaksana dan berwawasan tinggi dengan membuka peluang untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna atau program kemahiran bagi memastikan golongan muda masyarakat itu tidak terpinggir.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo menyambut baik peruntukan tambahan tersebut kerana dapat membantu masyarakat India meningkatkan prestasi ekonomi mereka.

Sundarajoo berkata peruntukan itu diharap dapat dimanfaatkan secara menyeluruh, termasuk membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke universiti dengan pembayaran yuran dan pemberian komputer riba.

“Saya juga berharap agar peruntukan ini boleh disalurkan dalam bentuk kursus kemahiran serta bantuan kelengkapan memulakan perniagaan seperti kursus gunting rambut dan penyediaan peralatan asas supaya mereka boleh terus memulakan perniagaan kecil,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak RM100 juta disediakan untuk peruntukan MITRA bagi 2026 dengan tambahan RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM150 juta.

MITRA, yang sebelum ini dikenali sebagai SEDIC, merupakan unit khas yang bertanggungjawab menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia dan berada di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Antara fungsi utama MITRA ialah mengenal pasti isu dan cabaran semasa masyarakat India Malaysia, melaksanakan inisiatif pembangunan sosioekonomi bagi masyarakat India Malaysia dan menyelaras kerjasama antara kerajaan dengan pihak swasta ke arah pembangunan masyarakat India Malaysia secara holistik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan